Pasukan Penyu dituntut pamer kebangkitan sebenar

  Penyu dituntut pamer kebangkitan sebenar
 
JURULATIH skuad Penyu, Abdul Rahman Ibrahim mencabar pemainnya untuk membuktikan kebangkitan sebenar mereka seandainya berhajat mengulangi kejayaan empat tahun lalu ke pentas final.
 
Malam ini, Terengganu turun melayan kunjungan Lions XII dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selepas tewas tipis 1-2 saingan pertama, Sabtu lalu.
 
Menurutnya,  pemain harus memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan akui bukan tugas mudah memandangkan Terengganu perlu meraih kemenangan tanpa bolos untuk mara ke pentas final.
 
“Pemain perlu menyerap setiap tekanan yang bakal dihadapi bukan sahaja daripada pasukan lawan malah harapan daripada penyokong setia skuad Penyu yang dahagakan kejayaan selepas kali terakhir mereka melakukannya pada 2011.
 
“Bagaimanapun saya yakin pemain kita mampu atasi perkara ini (tekanan) kerana dalam setiap perlawanan diharungi sebelum ini pun ada tekanan dan  merasakan kemahuan pasukan untuk ke final ketika ini dapat atasi  segalanya,” katanya.
 
Mengulas lanjut cabaran yang bakal diharungi, Abdul Rahman berkata, pihaknya sedar pasukan dari  Singapura itu pastinya akan bermain dengan bermati-matian untuk menjaringkan lebih banyak gol.
 
“Sememangnya kita akui, mereka bermain dengan garang...cepat dan pantas serta memiliki kawalan bola hebat. Tapi, kalau kita dapat sekat mereka dan menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol, kita mampu raih kemenangan," katanya.
 
Sinar Harian

Ulasan