GST: 'Apa yang turun?'

 Timbalan Wira Perkasa Parlimen Bachok, Ahmad Faris Yusof

BACHOK - Kerajaan persekutuan wajib menjaga keperluan rakyat marhaen yang kebanyakannya adalah golongan sederhana dan bawahan yang amat terkesan dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu.

Timbalan Wira Perkasa Parlimen Bachok, Ahmad Faris Yusof berkata, pada awal pelaksanaan GST, ia dimaklumkan lebih baik dan memberi manfaat kepada rakyat, namun sebaliknya kesan amat dirasai apabila lebih banyak barang dikenakan cukai, malah berlaku juga kenaikan harga beberapa barangan.

Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan BN terhakis, apatah lagi sebelum ini sering melaungkan slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

“Kalau sebelum ini, kerajaan kata GST akan menyebabkan harga barang turun tetapi saya tidak nampak apa yang turun. Kalau ada pun yang turun, mungkin terlalu sedikit dan harga itu akan naik semula berlipat kali ganda selepas caj GST.


“Contoh lain yang mudah, rakyat bising sebab syarikat telco juga kenakan GST. Jika mahu naikkan harga, mereka perlu tambah baik perkhidmatan, bukan dibiarkan di takuk lama. Harga dibayar tidak setimpal dengan khidmat diberikan. Mereka untung besar setiap tahun, takkan mereka tak boleh selesaikan masalah liputan di kawasan pedalaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Ulasan