Elak insiden kebocoran maklumat berulang

siber
 
KUALA LUMPUR - Aspek keselamatan siber dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipertingkatkan lagi bagi menangani insiden kebocoran maklumat kewangan.  
 
Menurut Penolong Setiausaha Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi Majlis Profesor Negara, Prof Madya Dr Azlina Ahmad, senario itu bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna, malah boleh memberi impak negatif terhadap ekonomi negara. 
 
"Saya rasa sudah tiba masanya pusat aduan khas untuk mereka yang menjadi mangsa kepada masalah kebocoran maklumat peribadi diwujudkan kerana pihak polis sahaja tidak mampu menangani masalah itu," katanya ketika dihubungi Bernama.  
 
Umum mengetahui agensi perbankan sentiasa berusaha memastikan tahap keselamatan perlindungan maklumat peribadi pemegang akaun di tahap paling optimum, namun beliau berkata, tidak bererti ia akan terselamat daripada digodam.
 
"Tidak mustahil maklumat boleh dicuri kerana pihak tidak bertangungjawab akan berusaha dengan apa cara sekali pun, mungkin juga ada penglibatan orang dalam...takkan kita perlu tutup internet untuk mengatasi perkara itu," katanya.
 
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman berkata, berbekalkan maklumat sulit yang diperoleh itu, pihak tidak bertanggungjawab boleh menggunakannya untuk kegiatan penipuan dan pengubahan wang haram.   
 
"Mereka juga akan mengganggu individu dengan panggilan atau khidmat pesanan ringkas sekali gus boleh mengganggu emosi pengguna serta kehidupan seharian terutamanya kepada mereka yang sering membuat urusan perbankan," katanya.  
 
Maamor berkata senario itu secara tidak langsung memberikan kesan negatif terhadap negara serta gambaran tidak elok kepada pelancong luar untuk menjalankan sebarang urusan kerana bimbang maklumat mereka mudah dicuri. 
 
Dalam hal ini, beliau berkata, Akta Perlindungan Data Peribadi perlu diperkuatkan serta diperluaskan penguatkuasaannya, selain individu itu sendiri perlu lebih peka serta berhati-hati dalam menjalankan sebarang urusan dalam talian membabitkan maklumat peribadi.  
 
"Kadangkala pengguna itu sendiri cuai serta ambil mudah ketika menggunakan nombor kad pengenalan atau nombor akaun bank," katanya.  
 
Sementara itu, pakar ekonomi Prof Datuk Mohd Yusof Kasim berkata kejadian kebocoran maklumat perbankan individu boleh menghakis kepercayaan pelabur dan pengguna institusi kewangan terhadap institusi perbankan negara. 
 
Seseorang individu meletakkan kepercayaan penuh kepada sesebuah bank untuk menjaga maklumat kerahsiaan mereka namun jika dibongkarkan kepada umum, ia akan memberi persepsi negatif terhadap kawalan institusi kewangan negara sekali gus mempersoal kewibawaan dan integriti bank, katanya. 
 
"Kegagalan bank membendung perkara ini juga akan menjejaskan pasaran mata wang negara dan pelabur sudah tidak berminat untuk melabur dalam perbankan kita.
 
"Siapa yang berminat (melabur) jika maklumat kerahsiaan mudah diceroboh?," kata Rektor Kolej Universiti Insaniah (KUIN) itu yang berpendapat ekoomi negara akan terjejas jika kejadian seumpama itu berlanjutan. 
 
Beliau berkata pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan segera terhadap pihak yang membocorkan maklumat bagi menarik semula keyakinan pelabur asing.
 
Menyuarakan pendapat yang sama, pakar ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohamad Aslam Haneef pula berkata kerajaan perlu mengkaji semula undang-undang berkaitan jenayah siber dengan memperuntukkan hukuman yang lebih berat.  
 
Beliau turut menyarankan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKKM) mencari mekanisme terbaik bagi mengekang pengguna menyebarkan maklumat perbankan individu di laman sosial. 
 
"Di negara ini tidak wajar kita nak sekat Facebook, Blog atau Twitter kerana ia digunakan sebagai medium komunikasi. 
 
"Apa yang boleh dibuat, kerajaan kena semak semula undang-undang siber dengan mengadakan penalti lebih berat ke atas individu terbabit," katanya.

Sinar Harian..

Ulasan