Kembali semula ke jalan ALLAH

Kembali semula ke jalan ALLAH

SEREMBAN - Masyarakat Islam di negeri ini diseru agar membina benteng utuh dalam menjaga hubungan sesama Islam, bangsa dan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, umat Islam perlu kembali ke jalan ALLAH dengan mendalami, mengkaji dan mencontohi al-Quran.

“Perpecahan yang berlaku sekarang perlu dibendung sebaik-baiknya. Mari kita sama-sama berjalan seiring, bersama-sama kembali kepada jalan ALLAH.

“Mari kita lihat bagaimana cantiknya jalan dan aturan ALLAH, semuanya ada dan boleh kita ikut dalam al-Quran dengan membaca, mengkaji dan mencontohi al-Quran seupaya kita sentiasa berpandu arah dengan asas yang kukuh iaitu al-Quran,” katanya.

Menurutnya, sekiranya perpecahan masyarakat Islam berlarutan, tidak mustahil negara ini juga akan ditindas dan hancur seperti negara Islam lain.
“Perpecahan yang berlaku sekarang sangat teruk seolah-olah umat Islam berada di zaman pra Islam dan berkabilah sehinggakan ada yang mengecam sesama umat Islam sendiri.


“Apabila masyarakat berpecah belah dan berlakunya persengketaan, negara tidak akan aman dan sudah pasti rakyat tidak akan tenteram,” katanya ketika berucapa pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana sempena Nuzul Al-Quran di Dewan Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO), di sini, kelmarin.

Mohamad berkata, penyatuan umat Islam sangat penting bukan saja di negara ini, malah di seluruh dunia untuk terus mengukuhkan perpaduan dan kegemilangan agama dan masyarakat Islam.
“Buangkan sikap yang tidak baik, kembali kepada jalan yang diredai ALLAH dan bersama-sama menjaga nama Islam.

“Sikap toleransi dan menjaga hubungan sesama kita dapat mengekalkan keamanan dan keharmonian negara, sekali gus menghalang ancaman dari mana-mana pihak,” katanya.

Sinar Harian

Ulasan