Leman Raja Lawak terajui Harapan Baru Sik

 Sulaiman Ibrahim

ALOR SETAR - Bekas ahli jawatankuasa Lajnah Politik Pemuda Pas Pusat, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Leman Raja Lawak dilantik sebagai peneraju Harapan Baru di Sik.

Menurut beliau, Harapan Baru Sik antara kawasan paling aktif di Kedah akan mengorak langkah lebih fleksibel dan berhemah dalam mendekati rakyat marhaen di setiap perkampungan dengan membawa semangat perjuangan baharu.

“Kita memahami masalah dihadapi rakyat yang merasai tekanan ekonomi dan isu lain yang masih belum diselesaikan oleh mana-mana pihak.

“Kelompok rakyat yang masih tertanya-tanya untuk mendekati Harapan Baru dipelawa berjumpa sendiri dengan kami bagi mengetahui keadaan dan haluan kami yang sebenar,” katanya, semalam.

Beliau yakin sokongan daripada pelbagai latar belakang akan bertambah terutama masyarakat yang mahu isu setempat diambil peduli.

“Sehingga kini terdapat kira-kira 100 orang memberi sokongan kepada Harapan Baru Sik walaupun masih baru," katanya.


Sebelum ini, bekas Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah penggal lalu (2013-2015), Datuk Dr Ismail Salleh menerajui Harapan Baru di Kedah walaupun masih di peringkat penaja.

“Jika diikutkan ramai mahu sertai Harapan Baru tapi belum sampai masa untuk tonjolkan diri kerana terikat dengan Pas. Buat masa ini mereka hanya sokong dari belakang dan bila sudah wujud parti September ini baru mereka tonjol diri.

“Kebanyakan individu itu kecewa dengan sistem pemilihan Pas sebelum ini termasuk beberapa orang tidak dapat bertanding kerana dicantas,” katanya.

Sulaiman yang juga Presiden Pertubuhan Angkatan Belia Bersama Ulama (Panglima) berkata, NGO itu masih wujud dan akan membantu Harapan Baru untuk bergerak.

Sinar Harian

Ulasan