Anonymous Malaysia ancam serang siber 29, 30 Ogos

 Anonymous Malaysia ancam serang siber 29, 30 Ogos

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Satu kumpulan menggelarkan diri mereka ‘Anonymous Malaysia’ memuat naik video mahu mengancam Kerajaan Malaysia dan mengisytihar perang terhadap Perdana Menteri melalui Facebook rasmi kumpulan itu, pada 4 Ogos lalu.

Dalam video terbabit, kumpulan itu mengisytiharkan perang internet terhadap Kerajaan Malaysia dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan menjangkakan serangan akan berlaku pada 29 hingga 30 Ogos ini, bermula 6 petang hingga 5 petang keesokannya.

Kumpulan itu memberi amaran, serangan dibuat selaras dengan demonstrasi Bersih 4.0 yang dijangkakan berlaku pada tarikh sama.

Pada tarikh itu, kumpulan tersebut menamakan beberapa laman web yang akan dijadikan sasaran serangan termasuk portal rasmi Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia selain 150 portal web yang terpilih.

Penggodam mendakwa, pentadbiran Najib membawa Malaysia ke ambang kejatuhan selain menyalahkan Perdana Menteri itu terhadap kejatuhan ekonomi serta rasuah.

Kumpulan terbabit menyatakan Najib gagal membalas tuduhan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain menterjemahkan insiden lain yang berlaku beberapa bulan lalu termasuk rusuhan di Plaza Low Yat dan kebakaran di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan media, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menggesa organisasi di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) memperkukuhkan sistem pertahanan siber i masing-masing.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau berkata, Mosti bertanggungjawab memastikan keselamatan ruang siber negara selamat dan terhindar daripada ancaman siber.

“Organisasi CNII diingatkan menaik taraf sistem komputer dan ‘patch’ keselamatan," katanya.

Madius berkata, Mosti melalui Cyber Security Malaysia dan Mimos Berhad sentiasa berusaha dan bertindak proaktif menangani isu berkaitan.

Sinar Harian

Ulasan