Petron perkenal RON100 di Malaysia

  Petron
PETRON Malaysia Refining and Marketing Bhd hari ini memperkenalkan minyak RON100 yang mematuhi standard Euro-4M di pasaran Malaysia.

Minyak premium, Blaze 100 Euro 4M, yang ketika ini dijual pada RM2.80 seliter, kini boleh didapati di lapan stesen minyak di Lembah Klang dan Johor dengan 30 hingga 40 buah stesen lagi dijangka mempunyai bahan api gred tinggi itu dalam masa beberapa bulan akan datang berdasarkan permintaan pelanggan.

Petron mempunyai 560 buah stesen di seluruh negara. Ketua Runcit Petron, Faridah Ali berkata minyak tersebut, yang mempunyai RON atau Nombor Oktana Penyelidikan tertinggi dalam pasaran, mempunyai ketahanan luar biasa terhadap 'ketukan enjin' yang merosakkan enjin kereta.‎

"Pelancaran Petron Blaze 100 Euro 4M merupakan sebahagian daripada janji kami kepada pemandu Malaysia untuk memperkenalkan perkhidmatan dan bahan api yang inovatif," katanya pada sidang media selepas pelancaran petrol itu oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin, dekat sini hari ini.

Beliau berkata petrol Blaze 100 Euro 4M dihasilkan di kilang penapisan syarikat itu di Port Dickson di bawah kawalan kualiti yang ketat.


"Bahan api berprestasi tinggi itu turut memenuhi spesifikasi Euro 4M yang dapat mengurangkan pengeluaran asap dan meningkatkan kualiti udara," katanya.   

Sementara itu, Hamzah berkata, industri minyak dan gas di negara ini memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi negara selain menyediakan peluang  pekerjaan.

"Kita juga mahu kedai serbaneka ditempatkan di stesen minyak untuk memasarkan produk tempatan untuk manfaat pertumbuhan ekonomi," katanya.

Sinar Harian Online

Ulasan