Langkau ke kandungan utama

Ibu bapa diseru menabung dalam SSPN-I Plus

Ibu bapa diseru menabung dalam SSPN-I Plus
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) menyampaikan replika cek bernilai RM5,000 sebagai insentif daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada seorang pengetua sekolah menengah di Besut yang berjaya membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) i Plus yang terbanyak pada Majis Jalinan Mesra PTPTN di SM Imtiaz Besut hari ini. - Foto Bernama

BESUT - Dalam usaha mentransformasikan budaya masyarakat daripada meminjam kepada menabung, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyeru ibu bapa agar menyertai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)-i Plus bagi memudahkan urusan kemasukan anak-anak mereka ke institusi pengajian tinggi kelak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penabungan pendidikan ini merupakan suatu tindakan yang amat baik dalam merancang masa depan dan perlu disambut oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia demi masa depan mereka.

"SSPN-i Plus sememangnya merupakan suatu anugerah kepada rakyat Malaysia kerana instrumen ini merupakan pelan simpanan terbaik yang bukan sahaja dijamin oleh kerajaan malah berpandukan kepada sistem kewangan yang patuh syariah.



"Ibu bapa yang membuat penabungan akan diberikan pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000 setahun di samping secara automatik layak menyertai cabutan hadiah yang menawarkan lebih 300 hadiah bernilai RM1.5 juta setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Jalinan Mesra PTPTN Bersama Penduduk Besut di Sekolah Menengah Imtiaz Besut di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.

Menurut Idris, dengan menabung hanya RM1 sehari, simpanan pendidikan untuk masa depan anak-anak akan terjamin sekali gus dapat menikmati pelbagai keistemewaaan penabungan dan memperleh perlindungan insurans yang komprehensif sehingga RM40,000.

Katanya, sejak ia dilancarkan pada Jun lalu sehingga 15 September tahun ini, terdapat 22,901 akaun SSPN-i Plus telah dibuka dengan jumlah deposit simpanan sebanyak RM6.9 juta di samping jumlah perlindungan insurans takaful sebanyak RM1.7 bilion.

"Bagi Terengganu pula, sehingga tempoh yang sama sebanyak 1,763 akaun SSPN-i Pluas berjaya dibuka dengan aktif dengan jumlah deposit simpanan sebanyak RM369,000 di samping perlindungan takaful berjumlah RM75.6 juta," katanya. - Bernama

Image result for satu peluang hebat IKLAN DAPAT DUIT



Ulasan