Langkau ke kandungan utama

Rahsia Kejayaan Jutawan Datuk Seri Vida didedahkan

‘Jaga maruah, jangan keterlaluan!’
Hasmiza menghasilkan produk berkualiti dengan jualan tinggi.

BAIK orang dewasa mahupun kanak-kanak, sebut sahaja nama 'Datuk Seri Vida' atau 'Qu Puteh', pasti wajahnya segera terbayang di depan mata. Berpakaian serba glamor, diserikan pula dengan pelbagai hiasan 'bling-bling', termasuk cincin berlian di jari jemari dan semestinya crown yang bernilai hingga ratusan ribu, pemilik nama sebenar Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, kini berjaya mencipta fenomena tersendiri menerusi empayar perniagaannya.

Akui Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, beliau bukannya sengaja mahu mencipta publisiti atau mempamerkan kemewahan diri, sebaliknya ia adalah sebagai satu identiti untuknya mengetengahkan produk keluarannya.

Menyedari percaturannya itu turut diguna pakai oleh segelintir usahawan lain bagi mengetengahkan produk masing-masing, Hasmiza bagaimanapun menasihatkan agar mereka jangan terlalu ghairah sehingga merendahkan maruah sendiri.

"Imej kena jaga. Jangan keterlaluan ketika melakukan pemasaran. Perlu ingat, ramai yang ada anak-anak, jadi kita tak mahu perkara seperti itu didedahkan kepada mereka. Risau nanti budaya tak baik itu akan mempengaruhi mereka.



"Apa yang paling penting ialah menjaga kualiti produk itu terlebih dahulu, baharulah fikirkan cara pemasarannya," katanya.

Hasmiza menegaskan, dalam perniagaan juga harus berpandukan pada niat yang betul. Katanya, jangan meletakan perniagaan itu sebagai batu loncatan untuk meraih kekayaan semata-mata. Sebaliknya cuba tetapkan hati untuk membantu masyarakat serta berkongsi rezeki yang ada dengan mereka yang memerlukan.

"Bila kita buka perniagaan, itu bermakna kita juga membuka peluang kepada orang ramai untuk sama-sama mencari rezeki.

"Bila dah ada duit, jangan pula kedekut untuk memberi. Amalkan sikap suka menderma pada golongan yang memerlukan, terutama anak yatim.

"Dulu saya juga anak yatim dan saya pernah rasa nikmat gembira bila ada orang yang memberi. Jadi perasaan itu saya pegang dan mahu mereka rasa lebih gembira dengan lebih pemberian dari saya," katanya.  

Selesai hutang sebelum 'enjoy'

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perniagaan, Hasmiza berkata, beliau berpegang pada prinsip 'selesaikan hutang, sebelum enjoy'. Katanya, perkara itu sangat penting bagi memastikan jangka hayat dalam perniagaan.

"Jangan main dengan hutang. Selesaikan dahulu hutang dan hak orang. Apa yang perlu dibayar, bayar dulu. Sebaiknya simpan juga bahagian untuk melakukan pusingan modal.

"Tapi kebanyakan usahawan yang saya nampak terlalu cepat nak enjoy. Baru untung sikit, dah beli macam-macam, sedangkan perniagaan perlukan modal untuk terus berkembang," katanya.

Mampu berbangga dengan kejayaan Vida Beauty Sdn. Bhd, Hasmiza bagaimanapun tidak mahu berada dalam kedudukan selesa. Sebaliknya, beliau tetap akan bekerja keras bagi memastikan syarikat serta perniagaannya terus berkembang.

Akui minat dalam perniagaan sangat menebal dalam dirinya, maka tidak hairanlah beliau sanggup berulang alik dari kediamannya di Ipoh ke Kuala Lumpur atau dari utara ke timur hanya untuk menerokai pelbagai bidang perniagaan.

"Saya ni jenis yang suka berniaga. kalau tak berniaga, saya boleh demam.  Jadi saya akan penuhi jadual saya dengan kerja.

"Bukan hanya kosmetik dan produk kesihatan, saya juga mempunyai kedai emas yang terletak di Ipoh, Perak. Malah saya juga bercadang untuk menambah lagi cawangan memandangkan saya sangat sukakan barangan kemas.

"Dalam pada itu, saya juga mahu  menerokai dunia fesyen dengan menghasilkan tudung dan jubah menerusi jenama sendiri," katanya yang turut menganjurkan program kelas online untuk berkongsi ilmu perniagaan bersama orang ramai.

 Bangkit dari kegagalan

Mengimbau permulaannya dalam bidang perniagaan, nyata perjalanannya sebagai usahawan bukan seindah yang disangka. Bermula dengan menjual kacang putih dan nasi bungkus kepada rakan sekolah untuk mencari duit poket, Hasmiza berjinak-jinak pula dengan perniagaan  kain batik, telekung, sambal daging dan juga keropok  semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Pada masa sama, wanita kelahiran Machang, Kelantan ini, turut  bekerja sambilan  sebagai pekerja kilang untuk menampung perbelanjaannya di universiti itu.

Menyedari minatnya dalam bidang kecantikan, pemegang Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteran Melayu dan Sejarah) ini, mula membuka salon sendiri dan dari situlah beliau menghasilkan produk kecantikan jenama  Vida Beauty yang terdiri daripada sabun, krim siang, dan krim malam, bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya melihat produk kecantikan dari luar mendapat sambutan yang tinggi di negara ini, kerana itulah saya juga memberanikan diri untuk keluarkan produk sendiri.

"Tapi percaturan saya silap ketika itu kerana terlalu memberikan kepercayaan kepada orang lain untuk mempromosikan produk saya, akibatnya saya mengalami kerugian berjuta ringgit," katanya yang sebelum itu bertugas sebagai guru di sekolah Cina selama 12 tahun di Ipoh, Perak.

Tidak mengenal erti kekalahan, beliau yang turut memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Biologi dari Universiti Monash, terus bangkit berjuang dan tidak putus asa mencari ilham baharu untuk mengembangkan empayar perniagaannya. Pada tahun 2010, beliau tampil dengan produk kesihatan, Pamoga, yang diformulasikan dari buah delima dan pati gamat.

Sinar Harian Online

Image result for satu peluang hebat IKLAN DAPAT DUIT

Ulasan