Langkau ke kandungan utama

Pilih pelaburan yang selamat

Pilih pelaburan selamat

BERHADAPAN dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menggalakkan sememangnya memberi kesan kepada pendapatan dan perbelanjaan negara sekali gus menyebabkan syarikat dan rakyat turut terkesan.

Secara amnya, syarikat akan mengalami kemerosotan pendapatan menyebabkan ada pekerja yang diberhentikan bagi mengurangkan kos tenaga buruh.

Ia ternyata benar apabila Kementerian Sumber Manusia mengumumkan bahawa seramai 37,699 pekerja diberhentikan pada tahun lalu dengan 39.4 peratus diberhentikan secara pemberhentian sukarela (VSS) manakala 60.6 peratus melalui pemberhentian biasa.
Kementerian itu berkata, berdasarkan statistik pemberhentian pekerja yang dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), majoriti pemberhentian melibatkan 32,552 pekerja tempatan (86.3 peratus) manakala bakinya merupakan pekerja asing.

Situasi pemberhentian kerja itu dikatakan didorong keadaan dan ekonomi syarikat tidak stabil.
Oleh sebab itu, orang ramai perlu sentiasa peka dan mula menabung untuk masa hadapan diri sendiri, anak-anak dan keluarga.
Selain menabung sendiri, pengguna juga boleh membuat pelaburan jangka panjang sama ada berisiko rendah atau tinggi.

Di Malaysia, terdapat banyak pelaburan yang boleh dilakukan antaranya pelaburan hartanah, emas, saham mahupun unit amanah.
Bagaimanapun, pengguna perlu berhati-hati memilih pelaburan, jangan tersalah pilih pelaburan yang berupa skim cepat kaya atau pelaburan yang menjanjikan imbuhan berupa wang tunai yang berlipat kali ganda.
Jadilah pengguna bijak dengan memilih bentuk pelaburan diyakini, dipercayai dan memberikan pulangan berbaloi.


Emas kalis inflasi

PELABURAN emas merupakan pilihan pelaburan terbaik dalam keadaan ekonomi semasa negara yang tidak menggalakkan kerana ia bersifat kalis inflasi.

Pengarah Urusan KTJ Merchant Group Sdn Bhd (KTJ Merchant Group), Wan Zamry Afendy Wan Dagang berkata, emas berbeza dan tidak sama dengan sifat wang kertas.
"Kalau kita melancong ke luar negara dengan wang kertas nilainya rendah kerana mengikut nilai pertukaran wang di negara itu.
"Jika kita bawa emas, nilainya mungkin jauh lebih tinggi apabila ditukar di negara itu kerana emas laku di mana-mana negara sekali pun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, baru-baru ini.

KTJ Merchant Group Sdn Bhd (KTJ Merchant Group) merupakan syarikat 100 peratus milik penuh Bumiputera yang menjalankan perniagaan jual beli emas secara fizikal, menawarkan pembelian emas menerusi platform secara atas talian (online) dan
offline.
Menurutnya, emas juga membantu ketika dalam kesusahan atau terdesak kerana emas boleh dijual untuk mendapatkan wang yang diperlukan.
Mengulas lanjut berkaitan pelaburan emas pada jangka panjang, Wan Zamry berkata, pelaburan emas sukar untuk di jangka.

"Nilai emas yang dibeli pada hari ini hanya akan boleh diketahui nilainya pada masa akan datang bergantung kepada harga emas semasa dunia ketika itu.
"Ini kenaikan harga emas bukan sahaja disebabkan pasaran harga semasa di dalam negara, tetapi seluruh dunia," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, pengguna perlu berhati-hati memilih syarikat pelaburan emas.
Katanya, konsep pelaburan emas yang betul memerlukan akad jual beli dan pembeli mesti mendapat emas yang dibeli.
"Jangan pilih pelaburan emas yang menjanjikan imbuhan atau bonus dalam bentuk wang tunai. Itu adalah konsep yang salah," katanya yang telah berkecimpung dalam perniagaan emas selama 20 tahun.

Wan Zambry turut menegaskan bahawa jumlah pelabur emas di negara ini masih sedikit kerana tidak ramai yang tahu tentang kelebihan dan pelaburan emas, sebaliknya lebih cenderung kepada pelaburan bukan emas.

Hartanah untuk jangka panjang

Pembelian hartanah merupakan antara pelaburan jangka panjang yang berbaloi dan mendatangkan keuntungan kepada pembeli terutamanya bagi tujuan disewakan kepada orang lain.

Pelabur hartanah, Meor Zaidee Meor Ahmad Rasdi berkata, harga rumah tidak pernah menurun, sebaliknya semakin meningkat dalam tempoh yang panjang.
"Oleh itu, sekiranya pembeli ada modal bagi wang pendahuluan adalah digalakkan untuk melabur dalam hartanah.

"Pun begitu, saya berpendapat bahawa pembeli rumah bagi tujuan sewa perlu mengambil tahu tentang beberapa perkara sebelum membeli rumah antaranya beli rumah di bawah nilai pasaran semasa dan memastikan pulangan ke atas pelaburan yang tinggi," katanya yang kini memiliki lebih 10 rumah bagi tujuan pelaburan.

Menurutnya, keuntungan dalam pelaburan hartanah bagi tujuan sewa akan diperoleh daripada lebihan bayaran bulanan kepada bank.
"Sekiranya bayaran bulanan kepada bank adalah RM1,000 dan rumah disewakan dengan harga RM800, lebihan RM200 itu adalah keuntungan pembeli.
"Oleh sebab itu, sekiranya pembeli ingin membeli rumah bagi tujuan disewakan, mereka juga perlu mengambil tahu tentang potensi kawasan itu," katanya.

Meor Zaidee berkata, adalah penting untuk mengenal pasti atau menilai potensi di kawasan itu terlebih dahulu sebelum membeli rumah.
Katanya, dengan mempunyai ilmu dalam hartanah, pembeli boleh mengurangkan risiko pelaburan.
Meor Zaidee juga menggalakkan golongan muda untuk membeli rumah di usia muda agar dapat memanjangkan tempoh pembayaran sehingga 35 tahun.
Katanya, orang muda juga dinasihatkan agar membeli rumah yang kecil (tidak mahal) bagi rumah pertama sebelum membeli rumah lebih besar pada masa hadapan.

Unit amanah risiko rendah

Pelaburan unit amanah merupakan pelaburan paling rendah risiko berbanding dengan pelaburan-pelaburan lain yang terdapat di pasaran seperti pelaburan hartanah, saham dan emas.

Perunding Kewangan Infaq Consultancy Sdn Bhd, Afyan Mat Rawi berkata, dalam pelaburan unit amanah hampir tiada risiko kerana tidak pernah berlaku pelabur unit amanah jatuh bankrap dan rugi 100 peratus seperti yang boleh terjadi ke atas pelabur-pelabur dalam bidang hartanah, saham dan emas.

"Ini kerana pelaburan ini dijamin pihak berkuasa dalam bidang kewangan dan pelaburan iaitu Suruhanjaya Sekuriti.
"Jadi ia sememangnya kukuh tanpa perlu diragui dan setiap syarikat akan ada pemegang amanah yg menjamin wang pelaburan pelabur tidak di seleweng," katanya.
Menurutnya, tidak ada risiko wang pelabur diselewengkan oleh syarikat atau pengurus dana.
Katanya, wang pelaburan bukan dilaburkan ke syarikat unit amanah, syarikat hanyalah pengurus wang orang ramai.
Afyan berkata, wang boleh dilaburkan dalam pasaran saham, ekuiti dan pasaran modal dalam dan luar negara dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, konglomerat, minyak dan gas, hartanah, telekomunikasi, pembinaan dan teknologi.

"Melalui pelaburan unit amanah, seseorang boleh melabur dalam pasaran saham seperti dana Eastpring Dana Al Ilham, PMB Syariah Aggressive Fund, Kenanga Syariah Growth.
"Boleh juga dilaburkan dalam sektor hartanah seperti dana KAF Australia Property Fund atau dalam sektor emas dan logam bernilai seperti dana AMPreccious Metal," katanya.
Menurutnya, ada juga unit amanah yang dilaburkan ke saham ekuiti luar negara seperti CIMB Islamic Asia Pacific Equity, yang dilaburkan ke negara-negara Asia Pasific, AM Oasis Global.

"Modal untuk memulakan pelaburan unit amanah hanyalah RM1,000 sahaja. Malah ada yg boleh dimulakan dgn modal RM100.

"Dengan modal serendah itu, wang pelabur dilaburkan ke atas banyak syarikat, banyak sektor dan banyak bidang bergantung kepada dana yg dipilih," katanya.

Mengulas lanjut berhubung unit amanah, Afyan berkata, terdapat lebih 40 syarikat unit amanah di Malaysia, lebih 300 dana keseluruhan serta lebih 100 dana patuh syariah yg boleh dipilih oleh pelabur.

"Cuma di Malaysia, kita hanya kenal dua atau tiga syarikat unit amanah sahaja," katanya.

Sinar Harian Online

http://mudah55.blogspot.my/

Ulasan