Langkau ke kandungan utama

Elak tertipu dengan skim tanah lot

Salkukhairi
Salkukhairi


NAMA Salkukhairi Abd Sukor mungkin sudah tidak asing lagi dalam bidang undang-undang hartanah di negara ini.

Ikon Lanai yang dilahirkan di Kampung Bangau Tajong, Temerloh Pahang ini,  seorang peguam bela dan peguam cara serta peguam hartanah yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang undang-undang hartanah selama lebih 13 tahun. 
Beliau yang juga penulis buku Pengenalan Undang-undang Pembangunan Hartanah di Malaysia memiliki kelulusan undang-undang pada tahun 2001.

Salkukhairi berkata, dia diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara pada tahun 2002 di firma guaman Tetuan Malek & Associates, Kuantan.
“Namun pada awal 2003, saya terjun ke bidang korporat dengan menyertai Pasdec Holdings Berhad (anak syarikat milik Kerajaan Negeri Pahang yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia) sebagai Penasihat Undang-undang kumpulan selama lebih kurang enam tahun. 

“Kemudian saya mengambil keputusan kembali semula ke bidang guaman dengan menubuhkan firma guaman sendiri iaitu Tetuan Alda Shukri Khairi & Associates di Kuantan pada 2009 sehingga kini bersama tiga rakan kongsi yang lain,” katanya. 
Bukan terikat dengan tugas hakiki sahaja, Salkukhairi sering mendapat undangan menjadi penceramah seminar undang-undang hartanah di seluruh negara termasuk di Brunei.

“Selain daripada itu, saya juga selalu berkongsi penulisan berkaitan perundangan hartanah dengan masyarakat di media sosial dan internet. 
“Setakat ini saya telah menulis lebih 200 artikel dan nota ringkas berkaitan undang-undang hartanah di dalam laman Facebook dan Fanpage saya,” katanya.

Kini, Salkukhairi berkata, beliau bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diberi nama Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) dan telah dilantik sebagai Presiden HartaGuam untuk penggal 2015/2017. 

“Matlamat dan perancangan saya adalah, ingin menjadi pencetus ummah dalam bidang guaman hartanah ini, di mana saya berharap dapat mencetuskan kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat tentang betapa pentingnya mereka memahami dan celik perundangan hartanah. 

“Ini sejajar dengan matlamat penubuhan HartaGuam itu sendiri iaitu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan dengan urusan guaman hartanah yang sebenar,” katanya.

Menurutnya, masyarakat negara ini masih lagi tidak memahami sepenuhnya aspek perundangan dalam urusan berkaitan hartanah. 

“Disebabkan itulah mereka mudah terpengaruh dengan skim-skim pembelian hartanah yang meragukan dan menjadi mangsa transaksi urus niaga hartanah yang bertentangan dengan undang-undang.

“Justeru, saya harap semoga usaha ini diberkati ALLAH SWT dan dipermudahkan. Walaupun ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, tetapi dengan kerjasama daripada semua pihak, tidak mustahil suatu hari nanti ia dapat direalisasikan,” katanya.
Dalam bidang hartanah, jual beli hartanah adalah perkara paling penting perlu diambil berat agar proses pemilikan atau penjualannya berjalan lancar.

Banyak perbezaan cara pengurusan tanah yang berlainan status pemilikan, yang mana memerlukan masyarakat celik akan perkara tersebut. Ia termasuklah urusan jual beli tanah lot yang kini semakin banyak kelihatan diiklankan.
Justeru, bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai jual beli tanah lot, ikuti perkongsian peguam hartanah, Salkukhairi Abd Sukor yang berpengalaman luas dalam bidang tersebut.

Sejauh mana jual beli tanah lot memberi keuntungan kepada pelaburan hartanah?

Ia boleh menjadi pelaburan hartanah menguntungkan sekiranya ia mematuhi beberapa prasyarat yang ditetapkan, seperti tanah lot itu sendiri mestilah bebas daripada sebarang bebanan. Misalnya tanah lot tersebut telah mempunyai geran individu berasingan serta berstatus bangunan dan boleh dipindah milik kepada pembeli. Selain itu, transaksi jual beli tanah lot itu mestilah mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang sebenar. Misalnya, ia hendaklah diuruskan oleh peguam hartanah berpengalaman dan mengguna pakai satu perjanjian jual beli secara bertulis yang memasukkan terma-terma melindungi hak dan kepentingan pembeli, seterusnya ia juga hendaklah dipindah milik daripada nama tuan tanah kepada pembeli tersebut.
Ketiga, tanah lot tersebut mestilah boleh digunakan untuk didirikan rumah di atasnya. Tiada guna membeli tanah lot tetapi tidak boleh digunakan untuk didirikan rumah di atasnya. 

Apakah persediaan yang perlu dilakukan untuk menceburi bidang ini?

Dalam apa perkara sekalipun kita lakukan, ilmu paling utama. Jangan lakukan sesuatu perkara sekadar ikut-ikutan sahaja. Atau jangan mudah terpedaya dengan tawaran harga jualan tanah lot yang murah atau seolah-olah tidak logik. Begitu juga, jangan terpesona dengan lokasi dan keadaan fizikal tanah lot tersebut selagi belum lihat geran individunya. 
Rajin-rajinlah bertanya kepada mereka yang berpengalaman dan pakar dalam urusan jual beli tanah lot sebelum membuat keputusan untuk membelinya. Selain daripada itu, digalakkan merujuk kepada peguam hartanah yang berpengalaman dalam urusan jual beli tanah lot sebelum membelinya. Lantiklah peguam sendiri yang boleh melindungi hak dan kepentingan anda dalam urusan jual beli tersebut. 

Bagaimana cara untuk pembeli memastikan tanah lot tersebut benar-benar wujud?

Pembeli hendaklah meminta daripada penjual salinan hak milik (geran) individu yang berasingan untuk tanah lot tersebut. Sekiranya penjual berdolak-dalik atau enggan untuk memberi salinan geran individu tanah lot yang ingin dijual, besar kemungkinan, tanah lot itu tidak wujud atau geran individu yang berasingan dan berstatus bangunan untuk tanah lot tersebut masih belum ada. 
Pembeli jangan mudah terpedaya apabila dibawa oleh penjual atau wakilnya untuk melawat tapak tanah lot yang dikatakan ingin dijual itu. Belum tentu tapak yang cantik dan terang atau lokasinya yang strategik memberi indikasi hak milik individu berasingan terhadap tanah lot tersebut telah wujud. Sebab itu, perkara pertama sekali yang anda kena dapatkan daripada penjual sebelum buat keputusan untuk beli tanah lot adalah salinan geran individu yang berasingan. 
Pembeli juga digalakkan membuat semakan di pejabat tanah mengenai lokasi dan kedudukan sebenar tanah lot tersebut supaya kedudukan dan lokasi sama. 

Bagaimana dengan status tanah dan apakah yang perlu diambil kira? 

Tanah lot yang sudah mempunyai geran individu berasingan boleh terus dipindah milik kepada pembeli sebaik sahaja segala bayaran harga jual beli dijelaskan oleh pembeli, manakala tanah masih di bawah geran bersama, kemungkinan besar tidak boleh dipindah milik kepada nama pembeli akibat kekangan dari segi perundangan. 
Walaupun ia boleh dipindah milik kepada nama pembeli, hak dan kepentingan mereka terhadap tanah lot tersebut tidak dilindungi sepenuhnya. Dan pembeli terpaksa berkongsi hak dan kepentingan dengan pembeli-pembeli yang lain di atas tanah tersebut. 
Di bawah Kanun Tanah Negara, pemilik bersama terhadap sesuatu hartanah mempunyai hak dan kepentingan yang sama terhadap semua bahagian di atas tanah tersebut. Misalnya, anda beli Lot 1 di atas geran bersama tadi dan pembeli-pembeli lain pula membeli lot-lot lain. Sungguhpun Lot 1 itu anda beli, tetapi dari segi undang-undang, pembeli-pembeli lain mempunyai hak dan kepentingan sama terhadap lot anda. Sekiranya seorang pembeli tadi meninggal dunia, waris-waris mereka berhak menuntut lot anda tadi sebagai tanah pusaka. 
Selain itu, sekiranya anda beli tanah lot yang berkongsi geran dan belum ada geran individu yang berasingan, dari segi perundangan anda tidak boleh mendirikan rumah di atas tapak lot tersebut. 

Sejauh mana transaksi penjualan tanah lot geran kongsi (lot lidi) yang mengguna pakai Surat Ikatan Amanah (SIA). Adakah ia selamat dan melindungi hak pembeli?

Dari segi perundangan, kedudukan SIA sama seperti Perjanjian Jual Beli (SNP) sesuatu hartanah. Sesuatu transaksi jual beli hartanah dianggap masih tidak sempurna sehinggalah hartanah tersebut dipindah milik kepada pembeli. Begitu juga dengan SIA. Walaupun wujudnya SIA dalam transaksi jual beli tanah lot geran kongsi tersebut, transaksi jual beli tersebut masih belum boleh dianggap sempurna sehinggalah hak milik individu berstatus bangunan dikeluarkan dan pindah milik didaftarkan kepada pembeli.
Selagi pindah milik belum dibuat, hak dan kepentingan pembeli terhadap tanah lot tersebut masih tidak dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang walaupun dengan adanya SIA tersebut. Ini kerana dari segi perundangan, hak dan pemilikan seseorang terhadap sesuatu hartanah hanya diiktiraf oleh undang-undang selepas nama mereka telah didaftarkan dalam geran.

Apakah panduan yang boleh diikuti orang ramai agar tidak menjadi mangsa penipuan?  

Pertama, anda kena semak dahulu status hak milik dan pemilikan tanah lot yang dijual tersebut, sama ada ia telah mempunyai geran individu yang berasingan dan berstatus bangunan serta dimiliki oleh tuan punya yang sah. 
Kedua, anda kena faham proses dan prosedur jual beli tanah lot yang sebenar dengan bertanyakan kepada mereka berpengalaman dan nasihat profesional  yang pakar dalam urusan tanah lot. Ketiga, lantiklah peguam hartanah sejak awal lagi anda bercadang untuk membeli tanah lot tersebut. Keempat, jangan mudah terpedaya dengan tawaran iklan jualan tanah lot yang menarik dan harga jualan tanah lot yang murah.

Sinar Harian Online

http://revo55.weebly.com/

Ulasan

Catat Ulasan

Ulaslah Yang Terbaik..