Langkau ke kandungan utama

Rancang masa depan bermula RM100

Rancang masa depan bermula RM100
Najmi berharap masyarakat tidak terbeban, malah bantu mereka jadi pelabur cemerlang.


DENGAN kos sara hidup semakin meningkat dan keadaan ekonomi semasa negara yang mencabar menyebabkan masyarakat kurang melibatkan diri dalam pelaburan.
Menyedari situasi itu, PMB Investment tampil memberi kemudahan pelaburan unit amanah dengan bayaran permulaan serendah RM100.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najmi Mohamed berkata, individu yang ingin melabur dengan PMB Investment boleh memulakan pelaburan dalam dana-dana di bawah pengurusan PMB Investment bermula hanya RM100.
"Kami di PMB Investment memahami cabaran masyarakat masa kini, dengan kemudahan itu, kami berharap ia tidak jadi bebanan kepada pelabur malah membantu mereka menjadi pelabur cemerlang pada masa hadapan dengan memulakan simpanan jangka panjang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, PMB Investment mempunyai pelbagai kemudahan dan cara ditawarkan kepada pelabur berminat antaranya pelaburan dana menerusi tunai dan juga menggunakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selain itu, pihaknya juga menawarkan kemudahan potongan gaji mahupun potongan akaun simpanan setiap bulan bagi pelabur yang ingin melabur secara konsisten.
Bukan itu sahaja, terdapat beberapa dana di bawah PMB Investment yang menawarkan manfaat takaful dengan pelaburan minimum RM5000.

"Kami ada kumpulan perunding komited di seluruh negara dan enam pejabat wilayah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu.
“Kami bekerjasama dengan pejabat Mara negeri untuk buka beberapa pejabat jualan dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Setakat ini, PMB Investment mempunyai 75,000 pelabur di seluruh negara.

Beri pendedahan kepada golongan Gen Y

Bagi memupuk kesedaran pelaburan di kalangan golongan muda di peringkat awal, PMB Investment menjalankan pelbagai aktiviti menerusi Program i-Generasi (i-Gen) iaitu aktiviti bagi mendekati kanak-kanak dan remaja berusia 6 hingga 17 tahun sejak 2014.

Tujuan utama  i-Gen ialah mewujudkan generasi celik simpanan dan pelaburan demi membentuk kewangan kukuh pada masa hadapan.
"i-Gen terbahagi kepada dua kategori iaitu i-Gen Junior berusia 6 hingga 12 tahun dan i-Gen Teen berusia 13 hingga 17 tahun.

Pelancaran logo sambutan 50 tahun pelaburan Mara dan prestasi terkini dana-dana PMB Investment Berhad.

"Ia bertujuan memberi pendedahan kepada golongan muda tentang pelaburan dan simpanan menerusi aktiviti-aktiviti sihat selain daripada bengkel dan taklimat pelaburan," katanya.
Mengulas lanjut aktiviti i-Gen, Najmi berkata, PMB Investment turut menjalin kerjasama bersama Grup Buku Karangkraf dalam bengkel Easy English Tahun 4, 5 dan 6.

Kerjasama itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat melahirkan generasi fasih berbahasa Inggeris.

Menurutnya, PMB Investment mempunyai PMB Dana Bestari bagi pelabur yang merancang dana pendidikan untuk anak-anak dengan hanya RM100 sebagai permulaan pelaburan.
Selain itu, Najmi berkata, masyarakat juga boleh membuat pelaburan dalam 14 dana unit amanah lain di bawah pengurusannya.

Beri pulangan tinggi

Dana-dana di bawah pengurusan PMB Investment memberikan pulangan lebih baik jika dibandingkan dengan dana konvensional.
"Kami cuba beri kesedaran kepada masyarakat tentang wujudnya pelaburan 100 peratus Islamik yang setanding dengan dana konvensional.

"Dua dana kami buat masa ini bagi kategori pulangan tiga bulan dan lima tahun berada di tangga kedua teratas dalam pasaran iaitu PMB Shariah Aggressive Fund di mana pulangan selama tiga bulan kebelakangan ini masing-masing adalah 11.6 peratus dan lima tahun sebanyak 94 peratus.
"Manakala PMB Growth Fund, kadar pulangan bagi dana ini ialah 15.4 peratus bagi tempoh tiga bulan dan sebanyak 71 peratus bagi tempoh lima tahun," katanya.

Menurutnya, dengan prestasi itu beri kesedaran dan membuka mata kepada masyarakat tentang wujud pelaburan Islamik yang setanding dengan pelaburan konvensional.

PMB Investment mempunyai 14 dana unit amanah dan dua unit borong, yang mana lima daripadanya berada di tangga ke-10 teratas dalam beberapa kategori daripada 62 dana syariah dalam pasaran bagi tempoh 3 bulan dan 5 tahun berakhir pada 28 April 2017.

PMB Investment mempunyai RM1.3 bilion aset dalam pengurusan (AUM) dan menyasarkan capai RM2 bilion menjelang akhir tahun ini, yang mana RM300 juta di sumbang oleh jualan runcit dan RM400 juta daripada jualan korporat.

Sinar Harian Online

dana-100-all

Ulasan