Langkau ke kandungan utama

Rugi RM18,000 disyaki mangsa Macau Scam

Macau Scam
Gambar hiasan
LANGKAWI - Seorang lelaki dipercayai menjadi mangsa pertama penipuan 'Macau Scam' di Langkawi tahun ini setelah diperdayakan untuk memindahkan kira-kira RM18,000 daripada akaun banknya.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, lelaki berumur lingkungan 40-an itu membuat laporan polis pada 26 April lepas dengan mendakwa ditipu melalui panggilan telefon oleh beberapa individu yang kononnya mewakili sebuah bank.

"Menurut mangsa, seorang daripada individu itu telah menelefonnya sebelum itu untuk menyelesaikan satu urusan pinjaman bank yang tidak pernah dibuat oleh mangsa," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diminta menggunakan mesin ATM untuk mengemaskinikan akaunnya bagi menyelesaikan masalah itu dan pada waktu itulah sindiket itu mengambil peluang mencuri maklumat akaunnya dan memindahkan wang daripada akaun itu.

"Kes ini kini disiasat oleh Bahagian Jenayah Komersial di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan dikenakan denda," katanya.

Ekoran kes ini, Che Ghazali meminta orang ramai supaya mengambil langkah berwaspada apabila menerima sebarang panggilan telefon daripada orang tidak dikenali yang mendakwa mewakili bank atau institusi kewangan tertentu.

"Jika sudah ada menerima panggilan telefon sedemikian, sila rujuk kepada bank-bank atau institusi yang berkenaan untuk mendapatkan pengesahan sebelum membuat sebarang transaksi," katanya. - Bernama

Ulasan