Langkau ke kandungan utama

Telefon skrin besar catat jualan tinggi di Malaysia

Telefon skrin besar catat jualan tinggi di Malaysia

    RAKYAT Malaysia lebih gemar memilih telefon mudah alih yang mempunyai skrin bersaiz besar, dengan mencatatkan 45 peratus daripada 8.5 juta unit pembelian peranti itu dalam tempoh 12 bulan lalu, berukuran lebih lima inci.

    Berdasarkan penemuan organisasi penyelidikan pasaran GfK, 37 peratus daripada telefon pintar yang dijual di negara ini sepanjang tempoh itu, mempunyai saiz skrin 5.01 hingga 5.6 inci, berbanding 21 peratus yang direkodkan tahun sebelumnya.

    Pengarah Urusan GfK Asia Tenggara, Stanley Kee berkata, dalam tempoh kajian itu, pembelian telefon pintar oleh pengguna bernilai RM6.8 bilion, meningkat berbanding RM5.4 bilion pada 2015.

    "Kenaikan itu disumbangkan oleh model telefon pintar kelas pertengahan yang berharga antara RM900 hingga RM1,050.

    "Jenama telefon pintar daripada China merupakan pendorong utama kepada kenaikan dalam permintaan untuk peranti mudah alih tahun lalu, yang mencatatkan jumlah tertinggi jenama telefon pintar baharu memasuki pasaran," katanya.

    Stanley berkata, pengembangan jaringan mudah alih di negara ini mendorong peningkatan penggunaan telefon pintar untuk aktiviti seperti membeli-belah, media sosial dan internet.
    "Aplikasi membeli-belah juga semakin popular, sekali gus membuka jalan untuk pembayaran mudah alih dan lebih ramai pengguna menyumbang kepada pertumbuhan perdagangan mudah alih di Malaysia," katanya.

    Pada tahun ini, GfK yakin, telefon pintar kelas pertengahan akan terus menguasai pasaran Malaysia.

    Sinar harian

    Ulasan