Langkau ke kandungan utama

Kerinduan, debaran Erra Fazira

Erra Fazira
Erra Fazira
    SETELAH beberapa tahun tidak muncul dengan single solo, selebriti cantik, Erra Fazira kini tidak sabar menanti lagu barunya diputarkan di radio.
    Menyifatkan single terbarunya itu sebagai hadiah demi mengubati rindu peminat, lagu yang belum diberi tajuk itu akan dirakam dalam tempoh terdekat.
    Bintang yang pernah diberi jolokan primadona filem Melayu itu menambah, dia kini sedang menunggu masa sesuai merakam lagu tersebut.

    Erra juga kini sibuk dengan dengan penggambaran drama terbitan Skop Production, My Darling Inspektor Daniel.
    Drama bersiri kepolisan 20 episod itu turut dilakonkan Aaron Aziz, Elizabeth Tan dan Siti Elizad.
    “Insya-ALLAH selepas selesai penggambaran drama tersebut, saya akan beri komitmen penghasilan single pula,” katanya kepada Media Hiburan di Rioooh Raya GM Klang, Selangor, baru-baru ini.

    “Liriknya sudah pun siap. Tinggal lagi saya perlu duduk, ambil masa untuk dapat feel bila sudah disatukan dengan melodi. Setelah sekian lama, baru kini saya berpeluang keluarkan lagu baru," ungkapnya teruja.
    Kongsi Erra lagi, kerinduan untuk menghadiahkan lagu baru khusus buat peminatnya itu sudah lama. Cuma, dia belum jumpa lagu yang benar-benar serasi dengan diri.
    “Nak keluarkan lagu memang senang. Cuma untuk cari yang benar-benar masuk dengan jiwa itu bukan mudah. Sebab, walaupun sudah ada lagu yang bagus untuk kita pun, perlu juga rancang untuk push lagu itu,” tutur Erra jujur.
    Pada masa sama, penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara ini pernah menolak beberapa lagu memandangkan kurang sesuai dengan personalitinya.

    Lagu inspirasi, motivasi

    Erra juga mengimpikan lagu yang memberi inspirasi dan motivasi namun sebagai penghibur, dia tidak boleh melihat cita rasanya semata-mata sebaliknya perlu memikirkan kemahuan peminat.
    “Bagaimanapun, saya akui tidak boleh melawan realiti. Rata-rata pencinta muzik gemarkan lagu mendayu dan cintan-cintun,” cerita Erra yang tidak boleh menyembunyikan rindunya untuk kembali memeriahkan dunia seni suara.
    Bekas penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik sebanyak dua kali di Festival Filem Malaysia ini juga mengakui dia bermula sebagai penyanyi dan kerinduan untuk kembali menghibur tetap ada.

    "Kalau ada lagu baru rasa seronok sebab kalau buat persembahan, asyik nyanyi lagu lama. Jadi apa salahnya bila ada masa, saya cuba fokus terhadap proses penghasilan lagu baru. Boleh dikatakan, ini juga antara cara saya menyesuaikan diri dengan situasi semasa," katanya yang tidak mahu terlalu bergantung kepadal agu lama.
    Selebriti berasal dari Rawang, Selangor ini juga bersyukur kerana rezekinya dalam lakonan masih ada.
    “Kalau ikutkan perancangan, selepas drama My Darling Inspektor Daniel, saya bakal terlibat di dalam beberapa drama dan sebuah filem," katanya yang enggan berkongsi butirannya kerana masih berada di peringkat perbincangan.

    Beri tip pada Shahir

     Media Hiburan turut bertanya Erra adakah dia berkongsi tip dengan Shahir yang turut terlibat menerusi  My Darling Inspektor Daniel.
    Akuinya, dia tidak berada dalam satu adegan atau babak dengan pemenang Akademi Fantasia musim ke-8 itu.

    Bagaimanapun, Erra difahamkan Shahir turut membintangi drama yang bakal bersiaran di Astro Ria pada 31 Julai depan itu.
    “Bagi saya, dia kena kerja keras untuk kembali dikenali kerana sudah lama menyepi.  
    “Adalah saya bagi beberapa idea misalnya dari segi penampilan berdasarkan kesesuaian watak yang dibawanya,” kongsi Erra ringkas.

    Sinar Harian Online

    Ulasan