Langkau ke kandungan utama

Dari penjual burger, kini miliki kilang sendiri

Dari penjual burger, kini miliki kilang sendiri
Mohd Izzuddin dan isteri bersama produk patty burger keluaran mereka
    KIRA-kira 20 tahun lalu, dia hanya seorang peniaga burger di sebuah gerai di tepi jalan berhampiran sebuah kolej di Taman Gelora, Kuantan, Pahang.

    Baginya, perniagaan gerai burger yang diusahakan ketika itu lebih daripada sebagai sumber pendapatan kerana dia turut mencari pengalaman berdepan selok-belok perniagaan demi mencapai wawasan masa depannya untuk bergelar seorang usahawan.
    Kini Mohd Izzuddin Mohamed, 41, berada di landasan tepat dalam merangka arah tuju wawasannya itu apabila dia berjaya mengembangkan perniagaan daripada peniaga burger biasa kepada perniagaan francais jenamanya sendiri, Akie Burger, di bawah Program Pra Francais Perbadanan Nasional Berhad (PNB).

    Dia yang berpandangan jauh ke depan dalam perniagaan pada mulanya membuka beberapa gerai burger di sekitar Kuantan yang diuruskan sendiri pada 2009 sebelum mengambil keputusan membuat sendiri patty burger untuk kegunaan gerainya.
    Ketika itu dia hanya memproses patty burger ayam dan daging di rumah dan selepas dua tahun, melihat kepada sambutan dan komen positif pelanggan dan para pemegang francaisnya, dia membuat keputusan berani untuk membuka kilang sendiri  dengan konsep lebih komersial melalui syarikat Akie Group Sdn Bhd.

    “Pada mulanya saya hasilkan patty burger ini untuk keperluan  10 gerai yang diusahakan secara francais namun melalui pembukaan kilang ini sejak Mac lalu, produk yang dihasilkan turut dijual kepada peniaga burger lain,” katanya.
    Menurutnya, nama Akie Burger dipilih kerana nama itu berkait dengan keluarga dan ada identiti negeri Pahang.

    “Arwah ayah, cucu-cucu panggil aki. Dia meninggal pada hujung tahun 2008 dan saya mulakan perniagaan ini pada 2009 jadi kami ambil keputusan guna perkataan aki tu untuk produk kami,” katanya.

    RM400,000 naik taraf mesin

    Penerima Anugerah Usahawan Berjaya Tekun 2016 ini berkata, perjalanan perniagaannya hingga ke tahap sekarang bukan mudah.
    Sebaliknya dia berdepan pelbagai dugaan terutama aspek modal dan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam menghasilkan produk daging burger berkualiti.
    Namun dengan bantuan dan sokongan isteri, Zaharah Zainuddin, 38, serta  keluarga, Mohd Izzuddin tidak menoleh ke belakang lagi sebaliknya terus menjayakan agenda masa depan perniagaannya dengan memberikan tumpuan penuh kepada operasi kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Mahkota, Bandar Indera Mahkota.

    “Melalui wang simpanan sendiri kira-kira RM200,000 dan RM200,000 lagi melalui pinjaman mudah serta geran daripada pihak SME Corp berjumlah lebih RM400,000, kami menaik taraf mesin di kilang ini kepada jenis ‘heavy duty’ dan berkualiti tinggi dari luar negara.
    Mohd Izzudin bersama wakil pelbagai agensi kerajaan yang mengadakan lawatan ke kilangnya.
    “Setakat ini, dengan kemampuan mesin yang ada, kita mampu mengeluarkan 3,000 patty burger sehari bagaimanapun kapasiti sebenar jauh lebih tinggi," katanya.
    Katanya, produk yang dihasilkan sebahagian besar masih untuk keperluan francais manakala selebihnya dijual secara terbuka termasuk di satu pasar mini di sekitar Kuantan.
    “Kita juga turut mengeluarkan produk ayam dan daging cincang dan sedikit masa lagi Insya-ALLAH, kita keluarkan patty burger kambing dan oblong.

    “Pada masa sama, kita sasarkan dalam tempoh enam bulan akan datang, produk Akie Burger akan berada di pasaran dengan imej pembungkusan yang lebih baik,” katanya.
    Menurutnya, produk Akie Burger keluarannya kini mendapat kelulusan Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

    “Berdasarkan maklum balas pelanggan, mereka akui patty burger kami lembut dan berjus serta setanding atau mungkin lebih baik daripada jenama lain,” katanya.
    Katanya, mengendalikan francais dan kilang satu cabaran besar namun dia perlu fokus kepada kedua-duanya supaya segala yang diusahakan itu bergerak seiring.
    “Sebab bila ada francais kena ada produk sendiri, jadi kami kena fokus kepada kilang dan pada masa sama, kembangkan lagi gerai francais. Jadi dalam tempoh sebulan lagi, 10 lagi gerai dibuka secara francais,” katanya.

    Katanya, pelanggan yang menikmati burger di gerai Akie Burger berpeluang menikmati isu daging yang lebih tebal berbanding patty daging keluarannya yang dijual di pasaran.
    Dia yang kini mampu menggajikan lapan pekerja mengakui perjalanan perniagaan masih jauh namun yakin impiannya akan tercapai melalui bantuan dan sokongan pelbagai agensi kerajaan setakat ini.

    Sinar Harian Online

    www.gajimasyuk.com

    Ulasan

    1. Saya berminat..dan dah berikan nama tpi jawapan dah akie hq burger,kami akan maklumkan selepas batch terbaru selesai terima stall..mnta update bila berkaitan anggaran masa..tiada maklum balas sehingga kini..mnta tlg kerjasma akie burger semakkan..tq

      BalasPadam

    Catat Ulasan

    Ulaslah Yang Terbaik..