Petronas jana purata 850,000 tong minyak sehari

Petronas

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) ketika ini memiliki 60 lapangan menghasilkan minyak dan gas di Sarawak yang mengeluarkan purata 850,000 tong minyak sehari, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Beliau berkata, sektor minyak dan gas di Sarawak juga diperluaskan ke aktiviti hiliran sambil menambah kilang pembuatan kimia pertama di Bintulu dibina pada 1980.

Petronas memulakan rangkaian stesen minyak runcit pada pertengahan 1980an, katanya.
“Kini terdapat 81 stesen minyak dikendalikan oleh orang Sarawak, menyediakan bahan api kepada bandar-bandar di negeri ini yang sedang berkembang maju dan juga kawasan di luar bandar.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan kami untuk berkembang di Sarawak dan menambah nilai kepada sumber minyak dan gasnya,” katanya.
Wan Zulkiflee berkata demikian pada majlis permeterian kontrak antara Petronas Carigali Sdn Bhd dan Brooke Dockyard and Engineering Works Corp di sini, hari ini.
Beliau berkata, Sarawak menyasar untuk menjadi hab minyak dan gas utama di rantau ini dan Petronas diberi penghormatan untuk memainkan peranan penting dalam merealisasikan wawasan ini.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga sumber minyak dan gas negara, Petronas komited untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyokong aspirasi pertumbuhannya,” katanya.
Beliau berkata sebahagian daripada komitmen ini termasuk menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi Sarawak sebagai pemacu nilai jangka panjang, sambil menambah setakat ini Petronas telah melabur sebanyak RM140 bilion untuk membangunkan sektor minyak dan gas negeri itu.
“Kami juga giat terlibat dalam membangunkan keupayaan tempatan. Setakat ini, 420 syarikat Sarawak berdaftar sebagai vendor Petronas.
“Hampir 5,000 orang Sarawak bekerja dengan Petronas di sini serta di seluruh operasi global,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata sejak 2010, Petronas telah membelanjakan hampir RM400 juta bagi pembangunan pendidikan dan modal insan yang memberi manfaat kepada lebih 5,000 pelajar Sarawak dan 15 institusi pendidikan.
Beliau berkata menerusi pembabitan dalam industri minyak dan gas negeri, Petronas mendapat keistimewaan bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi utama tempatan.
“Sebagai organisasi yang berasaskan kepada merit berprestasi tinggi, kami berbangga dapat bekerjasama dengan syarikat Sarawak yang meminjamkan kepakaran mereka kepada projek Petronas,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata perkongsian Petronas dengan Brooke Dockyard bermula 20 tahun lalu sambil menambah pembaharuan semula kontrak pada hari ini menandakan kejayaan penting dalam hubungan syarikat-syarikat ini dengan Sarawak.
“Ia merupakan bukti komitmen kami untuk menyokong aspirasi negeri bagi mengembangkan kepakaran tempatan yang menokok nilai kepada industri. Kami gembira bekerjasama dengan Brooke, syarikat yang turut sama komited bagi tujuan ini,” katanya.
Petronas hari ini memeterai dua kontrak bernilai RM480 juta dengan  Brooke Dockyard and Engineering Works Corp untuk melaksanakan kerja-kerja di projek pembangunan semula Bokor Fasa 3 dan pembangunan Anjung Gas di luar pantai Sarawak.

Kontrak pertama yang bernilai kira-kira RM290 juta dan diberikan pada 12 April tahun ini, merupakan penyediaan reka bentuk kejuruteraan dan kejuruteraan terperinci, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian tiga pelantar kepala telaga minyak bagi projek Pembangunan Semula  Bokor Fasa 3.

Kontrak kedua, yang dianggarkan bernilai RM189 juta dan diberikan pada 25 April, 2017, adalah penyediaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian sebuah pelantar kepala telaga minyak dan jaket bagi Projek Pembangunan  Anjung Gas, yang terletak 200 kilometer di luar pantai Bintulu.- Bernama

Ulasan