51 tokoh dapat anugerah Tan Sri

Sultan Muhammad IV
Seramai 51 individu dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, hari ini.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dianugerahi darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (P.M.N.).
Seramai 48 individu pula menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang turut membawa gelaran Tan Sri.
Mereka ialah Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Aziah Ali; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.
Turut menerima darjah kebesaran itu ialah bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff; Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Sharifah Zarah Syed Ahmad; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad; dan Pengerusi Lembaga Pengarah K & N Kenanga Holdings Berhad, Datuk Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail turut menerima darjah kebesaran P.S.M.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pula disenarai antara penerima darjah itu bagi kategori pertubuhan politik yang turut menyenaraikan dua veteran UMNO, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman dan Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed.
Turut menerima anugerah itu ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S. Vigneswaran; bekas pengerusi MIC Perak, Datuk Rajoo Dasari @ Govindasamy; dan bekas pemimpin MCA Datuk Tee Cheng York @ Tee How.
Bagi kategori pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun pula, penerima gelaran itu ialah Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim; Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz.
Dua panglima daripada perkhidmatan ATM turut menerima darjah kebesaran P.S.M. iaitu Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.
Seramai 20 individu dari badan swasta, persatuan dan sukarela turut menerima darjah kebesaran P.S.M. iaitu Naib Pengerusi Eksekutif Yayasan Albukhary, Datuk Seri Ismail Yusof; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Safuan Group Berhad, Datuk Mat Shah Sapuan; Timbalan Pengerusi Eksekutif Ahmad Zaki Resources Berhad, Datuk Seri Wan Zaki Wan Muda dan Pengerusi Eksekutif Binary University Sdn Bhd, Datuk Prof Joseph Adaikalam.
Turut menerima anugerah P.S.M. ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Press Metal Berhad, Datuk Koon Poh Keong; Pengerusi Globaltec Formation Berhad, Datuk Seri Dr Goh Tian Chuan; Pengerusi Sunsuria Berhad, Datuk Ter Leong Yap; Timbalan Pengerusi Eksekutif ENRA Group Berhad, Datuk Kamaluddin Abdullah; Naib Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, Datuk Seri Abg Khalid Abg Marzuki; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Pengarah Eksekutif HSS Engineers Berhad, Datuk Seri S. Kunasingam dan Pengarah Urusan Kumpulan Akisama Group, Datuk Chang Koon Wah.
Turut tersenarai ialah Pengarah Urusan Iswarabena Sdn Bhd, Datuk Seri S. Selvarajoo; Pengarah Urusan Pelita Samudera Pertama (M) Sdn Bhd, Datuk D. Murugan; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mangkubumi Sdn Bhd, Datuk Seri Zainudin Karjan; Pengarah Urusan Kossan Rubber Industries Berhad, Datuk Lim Kuang Sia; Pengarah Urusan Ekovest Sdn Bhd, Datuk Seri Lim Keng Cheng; Ketua Pegawai Eksekutif OWG Holdings Bhd, Datuk Seri Koh Cheng Keong; Pengarah Urusan Ideal Property Development Sdn Bhd, Datuk Ooi Kee Liang dan Pengerusi Eksekutif Tanah Permai Sdn Bhd, Datuk Lim Pau Chang.
Penerima lain ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Big C Supercenter Public Company Limited, Chareon Sirivadhanabhakdi; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Western Digital (M) Sdn Bhd, Steve Miligan; Presiden Malaysia Earl International Development Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Yuhao Aixinjueluo; Ketua Pegawai Eksekutif XINYI Glass Holding LTD, Datuk Gerry Tung Ching Sai dan Ketua Pegawai Eksekutif Xin Wang International Group, Datuk Chuang Chou-Wen.
BERNAMA

Ulasan