76% rakyat Malaysia beli-belah online sekali sebulan

beli-belah online



KUALA LUMPUR - Kepopularan beli-belah dalam talian dalam kalangan rakyat Malaysia telah meningkat sembilan peratus berbanding tahun lepas, dengan 76 peratus rakyat Malaysia menyatakan mereka membeli-belah dalam talian sekurang-kurangnnya sekali dalam sebulan.
“Trend ini lebih tinggi dalam kalangan millennial, dengan 82 peratus daripada mereka membeli-belah dalam talian sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan," demikian menurut Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa.

Kajian itu juga menunjukkan kategori teratas untuk belian dalam talian adalah pembayaran bil (58 peratus), fesyen dan aksesori (52 peratus) dan perjalanan, 52 peratus.
Ia sama dengan data daripada VisaNet, di mana kategori teratas perbelanjaan oleh rakyat Malaysia adalah untuk perjalanan, pembayaran insurans dan telekomunikasi, katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengurus Negara Visa untuk Malaysia, KB Ng berkata, kepopularan beli-belah dalam talian dalam kalangan rakyat Malaysia telah meningkat, di mana lebih 20 peratus pertumbuhan dalam perbelanjaan dalam e-dagang telah dicatat.
“Wujud peningkatan trend di mana lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan peranti mudah alih mereka untuk membeli-belah dalam talian. Kajian itu menunjukkan 57 peratus rakyat Malaysia menggunakan telefon mudah alih mereka untuk membeli-belah sekurang-kurangnngya sekali sebulan dalam talian," kata Ng.

Membeli-belah dalam talian juga telah berubah dengan pengenalan penyedia perkhidmatan atas permintaan seperti Uber, Grab dan Food Panda, kata Ng.
Ng berkata, 54 peratus rakyat Malaysia telah menggunakan perkhidmatan tersebut tahun lalu dan kemudahan adalah sebab utama untuk mereka menggunakannya, diikuti dengan boleh membeli-belah dengan selesa di rumah sendiri.
Pengalaman pembayaran tidak kelihatan ini telah merubah pengalaman pemegang kad kerana mereka tidak perlu mengeluarkan kad pembayaran atau tunai untuk membayar produk atau perkhidmatan yang dibeli kerana butiran pemegang kad disimpan menggunakan penyelesaian kad pada fail, kata Ng.

“Kami percaya pengalaman pembayaran pengguna akan terus berubah kepada yang lebih baik kerana kita melihat lebih banyak penyedia pembayaran berusaha keras meningkatkan pengalaman pembayaran untuk rakyat Malaysia," kata Ng.
Sementara itu, Ng berkata, perkhidmatan atas permintaan juga telah meningkatkan harapan pengguna kerana mereka mengharapkan masa penyerahan yang lebih pantas.
Ng berkata, 52 peratus rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan atas permintaan sekurang-kurangnya sekali sebulan dan 53 peratus mengharapkan tempahan makanan mereka untuk sampai kepada mereka dalam 30 minit.
Mengenai kaedah pembayaran pada masa depan, Ng berkata, 57 peratus daripada pengguna yang mahu membayar perkhidmatan penghantaran makanan melalui perkhidmatan atas permintaan berkata, mereka ingin membayarnya melalui dompet mudah alih, 47 peratus menggunakan peranti yang boleh dipakai, 36 peratus daripada mereka menggunakan kad pembayaran pradaftar dan 17 peratus melalui WhatsApp. - Bernama

Ulasan