Sengsara 'ketua' pelabur kena kelentong

BERIKUTAN dituduh menipu dan melarikan wang yang dilabur peserta skim pelaburan mata wang digital, seorang guru di Kota Bharu trauma apabila kerap diganggu serta menerima ugutan pihak tidak berpuas hati.
Mohamad Azmi Hamat, 57, yang menjadi ketua dan menyertai skim anjuran sebuah syarikat tempatan itu sejak Oktober tahun lalu, sudah mengutip pelaburan melebihi RM300,000 daripada 86 pelabur.
Malangnya, dia dikatakan gagal memberi pulangan keuntungan dan bonus pemasaran seperti dijanjikan penganjur skim dalam tempoh sebulan selepas menyertai dengan bayaran serendah RM2,000.

Sedangkan, Mohamad Azmi berkata, dia sendiri tertipu dengan pelaburan berkenaan dan hanya sempat merasa imbuhan selama tiga bulan sahaja.
"Rata-rata pelabur menyalahkan saya dan menuduh saya melarikan wang pelaburan mereka sedangkan, saya sendiri ditipu syarikat ini serta tidak pernah lagi menerima imbuhan selepas tiga bulan.
"Saya turut menjadi mangsa, bagaimana saya hendak membantu mereka. Ada kalangan pelabur yang bertindak agresif hingga ke rumah saya di Kota Bharu untuk lepaskan ketidakpuasan hati.
"Tidak kurang juga yang mengugut dan saya hampir ditetak kerana mereka berang serta fikir saya menipu.
"Jadi hari ini saya hendak jelaskan saya tidak melarikan duit mereka. Syarikat penganjur yang mengambil semuanya dan saya juga ditipu," katanya dalam sidang media diadakan di Kota Bharu, hari ini.
Sidang media itu turut disertai 10 daripada 70 orang mangsa dan Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Syahmi Syafiq Rosdi, 28, berkata, dia tertekan apabila ada ahli keluarganya dicederakan oleh pelabur yang tidak berpuas hati.
Katanya, dia mempunyai 80 pelabur di bawahnya dan mengambil inisiatif sendiri dengan membayar semula duit pelabur menggunakan wang simpanannya.
"Saya tidak mahu mereka mengganggu keluarga saya lagi sebab itu saya ambil langkah ini. Saya bayar secara ansuran kepada mereka," katanya.
Susulan penipuan skim itu, 10 pelabur membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, kelmarin.
Sementara itu, Dr Mohd Fared berkata, pihaknya menerima aduan mengenai penipuan skim berkenaan yang membabitkan 150 pelabur di Kelantan.
"Kelmarin 10 daripada 70 pelabur sudah membuat laporan polis dan anggaran kerugian mereka berjumlah sebanyak RM300,000.
"Mereka ini menyertai skim sejak ia dibuka pada September 2016 dan ahli hanya menerima pembayaran pulangan keuntungan sebulan hingga tiga bulan sahaja daripada tempoh kontrak perjanjian 12 bulan.
"Sedangkan janji penganjur adalah memberi keuntungan setiap bulan sebanyak 10 peratus berdasarkan modal selama 12 bulan selain bonus pemasaran sebanyak 10 peratus lagi kepada ahli yang melakukan penajaan ahli baru selain imbuhan lain," katanya.
Susulan itu, beliau berkata, PPIK akan cuba membantu mengetengahkan isu dihadapi mangsa dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

iklan : www.gajimasyuk.com


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 9:58 PM
www.hmetro.com.my

Ulasan

  1. Kerajaan yg ada berbillion billion duit pun tak sanggup bayar jenis duduk diam dapat, apa tah lagi sykt dan program program bermodalkan sejuta dua RM.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Ulaslah Yang Terbaik..