Trend belian online meningkat

Trend belian online meningkat

PENGELUAR pakaian sekolah jenama Canggih, My-Sutera Sdn Bhd (My-Sutera) melihat trend pembelian keperluan persekolahan secara atas talian (online) meningkat lima peratus dari tahun ke tahun.
Pengarah Eksekutifnya, Laila Satria Suhaimi berkata, ia berdasarkan data diperoleh selepas lima tahun menggunakan platform online sendiri menerusi eshop Canggih sebelum ini dan terbaru canggih.biz.

Katanya, menerusi canggih.biz yang diperkenalkan hujung tahun lalu, jenama Canggih mencatatkan purata jualan RM2,000 sehari dalam platform onlinenya, didorong oleh sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang membeli pakaian sekolah, alat tulis, beg sekolah dan lain-lain.

“Jenama Canggih mula meneroka platform online sejak 2012 lagi. Kami bermula dengan eshop Canggih, sebelum menukar kepada canggih.biz yang lebih mesra dan boleh diakses menggunakan telefon pintar.
“Pada awal pembangunan platform online kami, sambutan agak kurang memberangsangkan kerana faktor-faktor tertentu dan kekangan dari segi tenaga kerja serta kepakaran. Kini kami membuat penambahbaikan di canggih.biz dengan menggunakan khidmat penyedia perkhidmatan dari syarikat luar,” katanya.

Laila Satria berkata, My-Sutera kini dalam proses membangunkan sistem pemasaran ‘affiliate’ untuk membantu ramai orang termasuk koperasi dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) menjana pendapatan sampingan.

“Sistem ini dijangka siap akhir Disember ini dan kami akan membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjana pendapatan tambahan bersama Canggih.
“Mereka yang berminat akan dikenakan yuran berpatutan sebagai tanda komitmen dan hanya perlu mempromosikan produk-produk dari platform online canggih.biz kepada ibu bapa, pelajar atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Konsep ‘affiliate’ sama seperti dropship iaitu tidak perlu menyimpan stok dan pihak syarikat yang akan mengepos barang terus kepada pelanggan,” katanya.

Pada masa akan datang, katanya, My-Sutera akan bekerjasama dengan syarikat berkaitan bagi mempelbagaikan barangan yang dijual di platform canggih.biz, sekali gus mencapai misinya untuk menjadi pusat sehenti kelengkapan sekolah.
“Ketika ini, kami menjual pelbagai pilihan uniform sekolah dan ko-kurikulum, beg sekolah, alat tulis, stoking dan kasut,” katanya yang turut menerima tempahan online daripada pelanggan di Singapura.

Beliau optimis canggih.biz bakal memberikan sumbangan 30 hingga 40 peratus kepada pendapatan syarikat pada masa akan datang, berbanding dua peratus pada masa kini.

sinar online

www.gajimasyuk.com

Ulasan