Samsung Galaxy S9 dan S9+ kini di pasaran Malaysia

Galaxy S9 Dan S9+

SAMSUNG Malaysia Electronics melancarkan telefon pintar yang dinanti-nantikan, Galaxy S9 and S9+ , pada harga dari RM3,299 hingga RM4,399, mulai hari ini.
Terdapat dalam tiga warna iaitu hitam, biru laut dan ungu muda, telefon pintar itu diilhamkan daripada cara berkomunikasi di media sosial masa kini.
Ketua IT dan Perniagaan Mudah Alih Samsung Malaysia Electronics, KM Liew berkata dengan perkembangan ekspresi diri, pengguna kini menggunakan imej, video dan emoji untuk menyampaikan pemikiran mereka.
"Galaxy S9 dan S9 + dilengkapi dengan ciri emoji AR yang baru, super ‘slo-mo’ serta super ringan dan ini akan membolehkan pengguna menikmati dan mengadakan tahap komunikasi visual yang baru, disesuaikan dengan suara unik mereka sendiri," kata  Liew pada majlis pelancaran Samsung Galaxy S9 dan S9 + semalam.
Beliau berkata, Samsung sentiasa di barisan hadapan dalam menghasilkan kamera telefon pintar yang hebat dan dengan komitmen yang tinggi kepada pengguna, Samsung telah membawa telefon pintar terkini ini ke tahap lebih tinggi dengan mereka bentuk semula serta menaik  taraf kamera.
Dengan pengguna  hari ini yang mahukan kamera telefon pintar dengan teknologi terkini, bukan sahaja untuk mengambil gambar tetapi juga untuk menceritakan kisah unik mereka, kedua-dua kamera model berkenaan menyediakan sensor piksel berkelajuan super dengan kuasa pemprosesan khusus dan memori untuk mengambil gambar berkualiti tinggi.
Kedua-dua kamera apertur secara automatik akan menyesuaikan keadaan pencahayaannya dengan membenarkan  lebih banyak cahaya apabila gelap  melalui kanta apertur yang lebih besar (F1.5) dan beralih kepada lensa apertur lebih rendah (F2.4) di bawah cahaya terang untuk memastikan gambar yang diambil jelas.
Perantinya menyokong memori yang boleh ditambah sehingga 400GB melalui kad Micro SD.
Superstar Hallyu, Park Bogum menyertai pelancaran berkenaan dengan  membuat penampilan istimewa untuk menunjukkan beberapa ciri telefon pintar itu pada majlis yang berlangsung di Pavilion, di sini, dan menarik ribuan peminat.
Bagi meraikan pelancarannya di Malaysia, Samsung Malaysia Electronics akan mengadakan promosi terhad di Pavilion Kuala Lumpur, Quensbay Mall di Pulau Pinang dan Aeon Bandar Dato Onn di Johor Bahru.
Bermula hari ini hingga 18 Mac, pelanggan yang membeli Galaxy S9 atau S9 + layak menerima  hadiah eksklusif termasuk alat pengecas tanpa wayar Samsung secara percuma, diskaun 30 peratus bagi Samsung Gear Sport, dan diskaun  RM50 bagi pelindung telefon  terpilih, dan pelan pembayaran  mudah  sehingga 12 bulan. - Bernama

Sinar Harian Online

Ulasan