Langkau ke kandungan utama

Pakatan sudah ada nama calon PM - Mat Sabu

akatan sudah ada nama calon PM
Anwar dan Abdul Hadi berbincang sesuatu ketika Konvensyen PR, semalam
Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
 
SHAH ALAM – Perdana Menteri Pakatan Rakyat (PR) sudah pun ditetapkan, namun siapakah individu itu terus menjadi teka-teki dan hanya akan diumumkan pada waktu yang ‘sesuai’ sama ada sebelum ataupun selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Ramai menyebut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dinobat Perdana Menteri dan ada juga mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memegang jawatan itu, malah nama Ahli Parlimen Gua Musang dari Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah turut terlibat.

Isu ini semakin kencang kedengaran apabila ketiga-tiga parti komponen PR, Pas, PKR dan DAP dilihat sedikit bercanggah apabila ada ahli Pas dalam Muktamarnya hujung tahun lalu mahu Abdul Hadi menjadi pemimpin kerajaan.

Laporan akhbar tempatan turut menyebut Majlis Syura Pas menolak Anwar sebagai Perdana Menteri, namun laporan itu disanggah oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

DAP pula berulang kali menyebut Anwar menjadi Perdana Menteri. Namun tekaan siapakah calon Perdana Menteri yang dijangka diumumkan pada Konvensyen PR semalam tidak menjadi kenyataan, kerana tiada konsensus tetap yang dikeluar Majlis Kepimpinan Tertinggi.

Beberapa pemimpin tertinggi yang ditemui Sinar Harian selepas konvensyen menyatakan, mereka mengakui sudah pun menetapkan individu yang akan menjadi Perdana Menteri, sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, walaupun ada percanggahan, calon Perdana Menteri bukan isu besar bagi PR, kerana ia prosedur biasa seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Sebagai contoh, ketika PR menang di Selangor, PR tidak menyebut Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar, tetapi bila menang, beliau pegang jawatan tersebut. Begitu juga halnya apabila kita mengambil alih Putrajaya.

“Ya, kita sudah ‘set’ siapa orangnya. Orang  popular dan dapat sokongan umum akan jadi Perdana Menteri, kami tiada masalah, tetapi saya tak termasuk dalam senarai,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution turut mengakui calon Perdana Menteri sudah ada, namun fokus utama PR buat masa ini adalah mahu memperkuatkan jentera pilihan raya dan menjelaskan manifesto kepada rakyat.

Katanya, PR melihat ada keperluan untuk umum calon PM kerana PRU13 kali ini adalah prospek terbaik untuk menumbangkan kerajaan sedia ada, malah ramai pihak mahu melihat siapakah calon ini.

“Pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, tiada pengumuman siapa calon Perdana Menteri, walaupun ada pada 1999, Timbalan Mursyidul Am Pas ketika itu, Idris Omar menulis surat mahu Anwar jadi Perdana Menteri.

“Namun dari sudut lain, adakah pengumuman calon Perdana Menteri itu satu pandangan umum ataupun tidak, bukan soal calon, jadi kita lihat ada keperluan (untuk umumkan), maka kita akan umumkan pada masa yang sesuai,” katanya.

Berbeza dengan pilihan raya umum sebelum ini, tiada kedengaran langsung pihak lawan memperlekeh pembangkang dengan menyebut ‘mimpi di siang hari’ atau ‘angan-angan Mat Jenin’ apabila isu Perdana Menteri dari PR ini diberi perhatian.

Persoalannya, manifesto sudah ada, calon Perdana Menteri sudah ditetapkan, tetapi di mana barisan Kabinet bayangan PR yang terus menjadi bayang-bayang.

Dalam pada itu, Lim Guang Eng berkata Anwar calon paling layak untuk jadi perdana menteri sekirang PR menang PRU13.

Katanya ia berdasarkan kebijaksanaan Anwar yang mampu memastikan ekonomi negara sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Sudah 15 tahun negara mencatat defisit tinggi dan hutang yang makin melambung. Kali terakhir belanjawan Kerajaan Persekutuan berada dalam keadaan paling untung ialah ketika Anwar jadi Timbalan Perdana Menteri./SinarHarianOnline

[Klik Start Jika Nak Dengar Radio]
Eksklusif Bersama Radio CiliFM
Buat Permintaan Lagu Klik SINI

Ulasan