Ayam Goreng Seringgit Sabariah menjadi kesukaan kanak-kanak dan dewasa.
BERSAIZ kecil tetapi berbaloi. Keenakan ayam yang berharga RM1 atau dikenali sebagai Ayam Goreng Seringgit menjadi pilihan bagi mereka yang inginkan ayam goreng seperti keluaran restoran makanan segera.
Ayam ini digoreng rangup dan sedap, jika ingin rasa pedas, ia akan disaluti cili mengikut selera yang diinginkan. Ayam Goreng Seringgit bukan sahaja menjadi kegemaran kanak-kanak, ia juga digemari pelbagai peringkat umur.
Memenuhi cita rasa
Kakitangan awam, Siti Rashikin Mat Zuki berkata, Ayam Goreng Seringgit yang diperkenalkan anak saudaranya sejak tahun lalu kini menjadi kesukaannya.
“Saiznya yang kecil dan tanpa tulang menyebabkan ia mudah dimakan. Pada mulanya, saya agak terkejut kerana isi ayam goreng dijual dengan harga RM1, selalunya harga ayam goreng seketul RM3 ke atas.
"Istimewanya Ayam Goreng Seringgit ini ia boleh dimakan sama ada pedas atau pun tidak. Selalunya saya beli yang pedas kerana ia lebih sedap dan memenuhi cita rasa saya.
"Ia sesuai untuk kanak-kanak kerana boleh dimakan begitu sahaja tanpa sebarang perisa tambahan dan lebih mengujakan apabila makan panas-panas,” katanya.
Siti Rashikin berkata, Ayam Goreng Seringgit ini juga sesuai untuk dihidangkan ketika majlis keramaian atau majlis tertentu.
"Selalunya saya membeli ayam goreng ini di sekitar Petaling Jaya,” katanya.
