Cari Data Anda Nak

Pelawat Sejak Mac 2009

Jumaat, 29 Disember 2017

Penamaan KWSP, ramai 'serah kepada majikan'

KWSP e-bayaran.

KUCHING - Jika ditanya kepada mana-mana pekerja mengenai simpanan hari tua KWSP, kebanyakannya sedar mengenai peri pentingnya untuk menamakan penerima atau wasi bagi caruman mereka andai ditakdirkan mereka 'pergi' sebelum hari tua, malah ramai menganggap ia sebagai ‘tanggungjawab penting’.

Namun apabila unsur seperti polisi, terma, peraturan dan sebagainya diutarakan, tidak ramai dapat memberikan jawapan yang tepat, sebaliknya ramai menganggap ia  perkara enteng yang jarang-jarang sekali didengar apa-apa masalah mengenainya.
Muhammad Elyias Omar, 30, perancang kewangan sebuah bank di sini, mengakui kenyataan ini kerana dalam tugasan hariannya, beliau perlu tahu mengenai selok belok pengurusan kewangan dan menurutnya beliau faham benar bahawa ramai yang ditemui mengambil mudah berkaitan soal penama KWSP.

Malah beliau sendiri sedar mengenai pentingnya soal penamaan selepas diberi taklimat semasa baharu memulakan tugas di bank itu kira-kira tujuh tahun lalu, selepas taklimat beliau terus ke pejabat KWSP untuk menguruskan segalanya, termasuk soal penama.
Muhammad Elyias berkata, usaha KWSP untuk mengukuhkan lagi pemahaman ahli dan penama mengenai tanggungjawab masing-masing dalam membahagikan harta harus dipuji, malah ia perlu ditingkatkan lagi.

Beliau berkata, ada juga individu yang ditemui langsung tidak ambil tahu mengenai perkara itu, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada majikan, atau lebih tepat lagi bahagian Sumber Manusia, untuk menguruskannya.
"Ramai tidak mengambil berat mengenai perkara ini kerana jarang-jarang sekali masalah mengenainya didengar, kerana bagi mereka soal ini ‘tidak kena pada mereka’, tetapi percayalah ia adalah tanggungjawab, perlu diambil tahu, sentiasa dikemaskini di pejabat KWSP dan kemungkinan masalah timbul kepada waris  pencarum tidak boleh dinafikan terus begitu sahaja," katanya.

Bagi Muhamad Fitri Othman, 38, pula semasa dihubungi berkata segalanya diserahkan kepada bahagian Sumber Manusia di kilangnya bekerja, kerana menurutnya adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk mengendalikan perkara itu.
Katanya apabila menyambut kelahiran baharu, beliau tidak lupa untuk memaklumkan kepada bahagian Sumber Manusia mengenainya, dan ketika itu beliau akan diberi borang untuk menamakan bahagian buat warisnya.

Muhamad Fitri berkata, pada borang itu beliau dikehendaki menamakan waris-warisnya, di samping berapa peratus diperuntukkan kepada isteri dan anak-anaknya.
Sementara itu seorang lagi pencarum yang dihubungi, Hanaliza Mohd Hassan, 31, berkata beliau faham bahawa hingga kini selepas 16 tahun bekerja, beliau masih belum menamakan penama, dengan alasan ‘tidak ada kelapangan’ untuk ke pejabat KWSP.
Beliau yang mempunyai seorang anak yang berumur 7 tahun berkata, beliau tidak melihat soal penamaan itu sebagai isu besar dan setakat ini beliau belum mendengar isu itu menjadi masalah besar kepada sesiapa.

Presiden Persatuan Kewangan Islam dan Pengurusan Harta Malaysia (AIFiWM) Rohani Mohd Shahir ketika dirujuk mengenai perkara itu berkata pencarum sendiri perlu mengambil berat soal penama dan pergi sendiri ke pejabat KWSP untuk sentiasa 'ambil tahu' mengenainya, kerana persoalan itu sebenarnya 'bukan berkaitan majikan'. - Bernama

Selasa, 26 Disember 2017

ASB: PNB umum 7 sen dividen, bonus 0.25 sen

ASNB

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pendapatan untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), dengan bayaran dividen tujuh sen seunit, bonus 0.25 sen seunit dan bonus khas satu sen seunit ke atas baki sehingga 10,000 unit sempena Ulang Tahun ke-40nya pada Mac 2018.

Agihan pendapatan itu adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.
"Unit yang dilaburkan semula daripada dividen dan bonus, akan dikreditkan ke akaun pemegang unit pada 1 Januari 2018, manakala bonus ulang tahun istimewa akan dikreditkan pada 1 Mac 2018," kata Pengerusi  Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar pada  taklimat media mengenai maklumat terkini suku tahun keempat PNB 2017, di sini hari ini. - Bernama

Selasa, 12 Disember 2017

Trend belian online meningkat

Trend belian online meningkat

PENGELUAR pakaian sekolah jenama Canggih, My-Sutera Sdn Bhd (My-Sutera) melihat trend pembelian keperluan persekolahan secara atas talian (online) meningkat lima peratus dari tahun ke tahun.
Pengarah Eksekutifnya, Laila Satria Suhaimi berkata, ia berdasarkan data diperoleh selepas lima tahun menggunakan platform online sendiri menerusi eshop Canggih sebelum ini dan terbaru canggih.biz.

Katanya, menerusi canggih.biz yang diperkenalkan hujung tahun lalu, jenama Canggih mencatatkan purata jualan RM2,000 sehari dalam platform onlinenya, didorong oleh sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang membeli pakaian sekolah, alat tulis, beg sekolah dan lain-lain.

“Jenama Canggih mula meneroka platform online sejak 2012 lagi. Kami bermula dengan eshop Canggih, sebelum menukar kepada canggih.biz yang lebih mesra dan boleh diakses menggunakan telefon pintar.
“Pada awal pembangunan platform online kami, sambutan agak kurang memberangsangkan kerana faktor-faktor tertentu dan kekangan dari segi tenaga kerja serta kepakaran. Kini kami membuat penambahbaikan di canggih.biz dengan menggunakan khidmat penyedia perkhidmatan dari syarikat luar,” katanya.

Laila Satria berkata, My-Sutera kini dalam proses membangunkan sistem pemasaran ‘affiliate’ untuk membantu ramai orang termasuk koperasi dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) menjana pendapatan sampingan.

“Sistem ini dijangka siap akhir Disember ini dan kami akan membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjana pendapatan tambahan bersama Canggih.
“Mereka yang berminat akan dikenakan yuran berpatutan sebagai tanda komitmen dan hanya perlu mempromosikan produk-produk dari platform online canggih.biz kepada ibu bapa, pelajar atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Konsep ‘affiliate’ sama seperti dropship iaitu tidak perlu menyimpan stok dan pihak syarikat yang akan mengepos barang terus kepada pelanggan,” katanya.

Pada masa akan datang, katanya, My-Sutera akan bekerjasama dengan syarikat berkaitan bagi mempelbagaikan barangan yang dijual di platform canggih.biz, sekali gus mencapai misinya untuk menjadi pusat sehenti kelengkapan sekolah.
“Ketika ini, kami menjual pelbagai pilihan uniform sekolah dan ko-kurikulum, beg sekolah, alat tulis, stoking dan kasut,” katanya yang turut menerima tempahan online daripada pelanggan di Singapura.

Beliau optimis canggih.biz bakal memberikan sumbangan 30 hingga 40 peratus kepada pendapatan syarikat pada masa akan datang, berbanding dua peratus pada masa kini.

sinar online

www.gajimasyuk.com

Post Paling Popular

Post 7 Hari Popular

Followers

Senarai Blog Bisnes

Arkib Blog