PARIT BUNTAR - Misteri kehilangan dua muka surat ayat suci daripada
sebuah al-Quran di Masjid Hijau, Kampung Kedah pada Ahad lalu yang
menjadi viral di seluruh negara tidak terhenti setakat itu.

Lebih mengejutkan, pengerusi masjid itu, Ahmad Abdul Hamid dan Pegawai
Tadbir Agama Pejabat Agama Islam Daerah Parit Buntar (PAPB), Khairul
Nizam Mat Nor mengesahkan tambahan enam muka surat mengandungi ayat suci
al-Quran daripada naskhah sama turut dikenal pasti 'ghaib' sejak petang
semalam.
Ahmad berkata, apabila pendedahan dua muka surat ayat al-Quran hilang
dibuat Naib Kadi PAPB, Mohamad Khori Junus di Sinar Harian kelmarin,
Masjid Hijau terus menjadi tumpuan ramai penduduk setempat yang hadir
untuk menyaksikan sendiri naskhah Al-Quran itu.
Bagaimanapun, satu penemuan susulan mengejutkan berlaku pada petang
semalam apabila beberapa jemaah wanita yang hadir mengikuti kuliah Asar
di masjid itu mendakwa mengesan tambahan ayat al-Quran turut hilang
daripada naskhah sama.
"Perkara itu dimaklumkan kepada Khairul Nizam yang kebetulan hadir memberi ceramah Kuliah Asar di situ ketika itu.
"Setelah semakan teliti dibuat, beliau mengesahkan jumlah keseluruhan
ayat Al-Quran hilang daripada naskhah itu sebanyak lapan muka surat,"
katanya kepada media di sini hari ini.