Ayat al-Quran hilang, saya benar-benar takut serta insaf dengan kejadian tersebut

 Ayat al-Quran hilang bertambah enam muka surat


PARIT BUNTAR - Misteri kehilangan dua muka surat ayat suci daripada sebuah al-Quran di Masjid Hijau, Kampung Kedah pada Ahad lalu yang menjadi viral di seluruh negara tidak terhenti setakat itu.

Ayat al-Quran hilang bertambah enam muka surat Lebih mengejutkan, pengerusi masjid itu, Ahmad Abdul Hamid dan Pegawai Tadbir Agama Pejabat Agama Islam Daerah Parit Buntar (PAPB), Khairul Nizam Mat Nor mengesahkan tambahan enam muka surat mengandungi ayat suci al-Quran daripada naskhah sama turut dikenal pasti 'ghaib' sejak petang semalam.

Ahmad berkata, apabila pendedahan dua muka surat ayat al-Quran hilang dibuat Naib Kadi PAPB, Mohamad Khori Junus di Sinar Harian kelmarin, Masjid Hijau terus menjadi tumpuan ramai penduduk setempat yang hadir untuk menyaksikan sendiri naskhah Al-Quran itu.

Bagaimanapun, satu penemuan susulan mengejutkan berlaku pada petang semalam apabila beberapa jemaah wanita yang hadir mengikuti kuliah Asar di masjid itu mendakwa mengesan tambahan ayat al-Quran turut hilang daripada naskhah sama.

"Perkara itu dimaklumkan kepada Khairul Nizam yang kebetulan hadir memberi ceramah Kuliah Asar di situ ketika itu.

"Setelah semakan teliti dibuat, beliau mengesahkan jumlah keseluruhan ayat Al-Quran hilang daripada naskhah itu sebanyak lapan muka surat," katanya kepada media di sini hari ini.


Sementara itu, Khairul Nizam ketika ditemui menegaskan potongan ayat al-Quran daripada lapan muka surat 'ghaib' merupakan ayat 32 hingga 49 Surah At-Thur, ayat 1 hingga 26 Surah An-Najmi, Surah Az-Zariyat (ayat 7 hingga 51, Surah Al-Qamar (ayat 7-49) dan dua surah asal didakwa hilang iaitu Surah Ar-Rahman (ayat 41-78) dan Surah Al-Waqiah (ayat 1-16).

Menurutnya, dia segera meminta Mohamad Khori mengenal pasti jumlah sebenar muka surat mengandungi ayat Al-Quran hilang bagi mengelakkan dirinya tersilap tafsir.

"Namun, Mohamad Khori mengesahkan hanya dua muka surat sahaja hilang sewaktu dia menyemak al-Quran itu beberapa kali pada Ahad lalu.

"Demi kepastian, saya berulang kali menyemak naskhah al-Quran terbabit dan jumlah ayat al-Quran hilang memang bertambah," katanya.

Khairul Nizam berkata, kejadian aneh ini sememangnya dipandang berat Pejabat Agama Islam Parit Buntar dan naskhah al-Quran itu turut diambil untuk diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPK).

Menurutnya, perkara itu turut dimaklumkan kepada Timbalan Pengarah JAIPK, Haris Fadzillah Abdul Halim sejurus 'kehilangan' ayat al-Quran itu disahkan dirinya.

"Bagi saya, kejadian ini sebenarnya satu petanda penting peringatan Allah SWT bahawa umat Islam di seluruh negara perlu kembali mengimarahkan al-Quran di dalam jiwa mereka.

"Salah satu potongan ayat al-Quran hilang menceritakan kejadian besar pada hari kiamat dan kita perlu mengambil iktibar kejadian ini untuk kembali bertaubat dan mengikuti ajaran Islam sebenar," katanya.

Khairul Nizam berkata, pihaknya tidak menafikan kemungkinan berlaku masalah kesilapan pencetakan sewaktu naskhah itu diterbitkan, namun kemungkinan kejadian itu satu petanda peringatan daripada Allah SWT tidak boleh diketepikan.

Dalam pada itu, Mohamad Khori mengakui terkejut dimaklumkan berlaku penambahan 'kehilangan' enam muka surat ayat al-Quran dari naskhah al-Quran sama disemaknya.

"Pada Ahad lalu, saya mengakui beberapa kali menyemak semula setiap helaian muka surat pada naskhah al-Quran itu dan mendapati hanya dua muka surat hilang.

"Kini, helaian muka surat 'ghaib' semakin bertambah dan saya benar-benar takut serta insaf dengan kejadian tersebut," katanya.

Sinar Harian Online

Ulasan