Abhisit terselamat daripada satu lagi undi tidak percaya

TERKINI @ 01:21:35 PM 19-03-2011
March 19, 2011

BANGKOK, 19 Mac — Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva terselamat daripada satu lagi usul undi tidak percaya yang dikemukakan terhadap beliau di Parlimen hari ini.

Abhisit (gambar) memperoleh 249 undi menentang usul itu berbanding 184 yang menyokong, 11 Anggota Parlimen berkecuali manakala 23 lagi tidak mengundi.

Ini kali kedua Abhisit berdepan undi tidak percaya selepas terselamat dalam usul yang dibentangkan kali pertama pada 24 Mei tahun lepas dengan 246 menentang dan 186 menyokong.

Sembilan lagi anggota Kabinet turut terselamat dalam ujian hari ini selepas Parlimen membahaskan usul itu selama empat hari sejak Selasa. Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban terselamat daripada usul itu dengan 249 menentang dan 185 menyokong.

Usul undi tidak percaya itu yang ditandatangani oleh 122 ahli Parlimen pembangkang turut dibentangkan terhadap tujuh menteri dan seorang timbalan menteri namun kesemuanya terselamat dalam undian itu.

Menteri-menteri itu ialah Korn Chantikavanij (Kewangan), Chavarat Chanweerakul (Dalam Negeri), Kasit Piromya (Luar), Sopon Sarum (Pengangkutan), Porntiva Nakasai (Perdagangan), Chuti Krairiksh (Penerangan dan Teknologi Komunikasi) dan Ong-art Klampaiboon (Pejabat Perdana Menteri) serta Timbalan Menteri Pertanian Suphachai Phosu.

(Dalam sistem kerajaan Thai, timbalan menteri juga adalah anggota Kabinet). Isu utama yang dibangkitkan oleh pembangkang semasa perbahasan termasuk dakwaan rasuah, salah pengurusan, penyalahgunaan kuasa, manipulasi stok dan salah pengendalian konflik Thai-Kemboja selain konflik di Selatan.

Tindakan keras kerajaan terhadap penunjuk perasaan Baju Merah pada Mei tahun lepas yang mengakibatkan 91 orang terbunuh dibangkitkan semula kali ini sungguhpun ia merupakan satu-satunya isu yang dikemukakan dalam undi tidak percaya tahun lepas.

Dalam undi tidak percaya sebelum ini, selain Perdana Menteri, Suthep, Korn, Chavarat, Kasit dan Sopon turut menjadi sasaran namun kesemuanya terselamat. — Bernama


Ulasan