SHAH ALAM 7 MAC : Perhimpunan besar-besaran akan digerakkan oleh Pakatan Rakyat berikutan prestasi buruk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kerdau dan Merlimau yang berlangsung semalam.
Ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata SPR sendiri semakin hilang punca dan gagal menyenaraikan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh parti- parti yang bertanding, dalam tempoh pilihan raya sedang berlangsung.
" SPR sendiri macam hilang punca. Pengerusi SPR sendiri tak dapat beritahu apa yang boleh diberi dan apa yang tidak boleh diberi. Perkara ini berleluasa dan SPR gagal,"kata Hatta.
Ujarnya lagi, beliau akan membangkitkan isu kegagalan SPR menyenaraikan dispilin-dispilin tertentu, semasa tempoh pilihan raya kecil DUN Kerdau dan Merlimau pada sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.
" Mungkin dalam parlimen kita akan sentuh perkara ini kerana suruhanjaya berkenaan tidak memberikan gambaran yang jelas tentang syarat-syarat dalam kempen pilihanraya. Perkara ini dalam pilihanraya kecil terserlahlah. Tapi pada pilihanraya umum, kita tidak rasa BN tidak mampu lagi nak buat seperti ini.Kita amat mengharapkan pilihanraya umum pentasnya lebih adil,"katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Pengarah Pilihanraya PAS Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pilihanraya kecil Kerdau menyaksikan sokongan kepada Pakatan Rakyat semakin meningkat.
" Kawasan ini kita kalah kerana memang kubu kuat mereka. Di tempat-tempat begini sukar sebab mereka menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan. Tapi peningkatan pengundi PAS agak kecil. Peningkatan undi BN pula mungkin sebab ada sejumlah nama pengundi baru didaftar,"katanya lagi.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menjadikan pilihanraya kecil Ijok sebagai contoh kemaraan rakyat di Selangor.
Pada pilihanraya kecil itu, calon Pakatan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim kalah kepada calon BN namun tsunami politik 2008 menyaksikan gagasan itu akhirnya merampas Selangor dari tangan Umno-BN.
" Ijok sebagai contoh. BN menang dalam pilihanraya kecil tapi kita pilihanraya umum, menang besar. Saya tengok di Felda dan beberapa kampung tradisi, kita meningkat.Ini modal untuk kita susun strategi pada pilihanraya umum ke 13,"jelasnya.
Tuan Ibrahim juga turut menzahirkan kebimbangannya terhadap sikap kerajaan pemerintah dan media arus perdana yang secara terang-terangan melaporkan pemberian segala jenis sogokan kepada rakyat di DUN Kerdau dan Melimau semata-mata mahu mengekalkan kuasa politik mereka.
" Media rasmi tunjuk secara terang-terangan bagi sumbangan. Kita akan ambil satu tindakan.Undang-undang sudah ada. Hukuman sudah ada. Tetapi tidak ada penguatkuasaan dilakukan. Saya fikir kita sudah beri peringatan pada SPR supaya reformasi SPR akan dibuat,"katanya lagi. TVSNEWS
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..