KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perbuatan menayangkan rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang bersama seorang pelacur warga China di sebuah hotel kepada pihak media sebagai perbuatan tidak bermoral.
Mursyidul Am Pas itu berkata, lebih memalukan apabila perbuatan itu didalangi tiga 'individu bergelar' dan pernah menjadi pemimpin sebuah kerajaan negeri.
Katanya, beliau berasa amat malu untuk membaca berita mengenai pendedahan skandal terbabit kerana ia dilaporkan oleh semua media massa di negara ini.
“Saya berasa malu, berasa seolah-olah berada di negara lain. Saya tak tahu kenapa pemimpin yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam menjadi individu yang tidak bermoral.
“Kita orang Melayu sudahlah duit tak ada, ilmu tak ada, moral pula hancur. Mana lagi bahagian yang bangsa lain boleh tertarik dengan kita?" katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu, di sini, semalam.
Nik Aziz berkata, pemimpin atau tokoh yang mempunyai gelaran sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik, bukan mempamerkan keaiban orang lain.
“Mereka ini diberikan gelaran sedemikian rupa dengan harapan boleh membimbing rakyat, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Kalau pemimpin sanggup buat macam ini, rakyat apa lagi. Seks ini benda yang aib tetapi tiba-tiba ia dipertontonkan kepada umum, macam tak ada agama,” katanya.
Isnin lalu, rakaman video aksi seks yang dikatakan membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipertontonkan kepada editor kanan dan wartawan di Carcosa Seri Negara.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim (kumpulan Datuk T) mengakui terlibat dalam pendedahan video terbabit.
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..