Laluan Sukar...!!!

JUARA Piala Suzuki AFF 2010, Malaysia dijangka menghadapi ujian getir pasukan Taiwan selepas kedua-dua pasukan diundi bertembung dalam aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia Fifa 2014 Zon Asia di jadual bermula 29 Jun dan 3 Julai depan.

Jika pasukan Harimau Malaya berjaya melepasi halangan wakil Asia Timur itu, lawan yang bakal menanti mereka di pusingan kedua adalah Singapura yang mendapat bye di pusingan pertama.

Namun, Ketua Jurulatih negara K Rajagobal mahu peminat pasukan kebangsaan di seluruh negara bersikap realistik memandangkan saingan kelayakan Piala Dunia Zon Asia berbeza dengan aksi peringkat Asia Tenggara.

Menurutnya, pemainnya perlu melalui satu proses yang panjang kerana banyak perlawanan perlu dihadapi sebelum menuju puncak kejayaan.

“Kita jangan terlalu ghairah mahu pasukan negara beraksi di pentas Piala Dunia selepas kejayaan menjuarai kejohanan Piala Suzuki AFF lalu. Kita harus ingat perjalanan skuad ini untuk ke kejohanan itu masih jauh.

“Namun, saya menggesa pemain supaya memberi tumpuan seratus peratus dan mempamerkan aksi terbaik menjelang pertemuan itu nanti,” katanya.

Rajagobal, setiap pemainnya perlu memiliki sifat positif supaya mereka menjadi lebih kuat dan matang untuk menempuh perjalanan yang masih jauh berliku.

Menurutnya, mereka perlu bermula dari bawah dan memberi tumpuan satu demi dalam setiap perlawanan dilalui.

Difahamkan, tiada aksi persahabatan membabitkan pasukan kebangsaan sepanjang bulan April kerana kepadatan jadual liga domestik.

Malaysia kini menduduki ranking ke-138 dunia, manakala Taiwan berada di tangga ke-147. SinarHarian

Ulasan