BERHADAPAN dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menggalakkan sememangnya memberi kesan kepada pendapatan dan perbelanjaan negara sekali gus menyebabkan syarikat dan rakyat turut terkesan.
Secara amnya, syarikat akan mengalami kemerosotan pendapatan menyebabkan ada pekerja yang diberhentikan bagi mengurangkan kos tenaga buruh.
Ia ternyata benar apabila Kementerian Sumber Manusia mengumumkan bahawa seramai 37,699 pekerja diberhentikan pada tahun lalu dengan 39.4 peratus diberhentikan secara pemberhentian sukarela (VSS) manakala 60.6 peratus melalui pemberhentian biasa.
Kementerian itu berkata, berdasarkan statistik pemberhentian pekerja yang dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), majoriti pemberhentian melibatkan 32,552 pekerja tempatan (86.3 peratus) manakala bakinya merupakan pekerja asing.
Situasi pemberhentian kerja itu dikatakan didorong keadaan dan ekonomi syarikat tidak stabil.
Oleh sebab itu, orang ramai perlu sentiasa peka dan mula menabung untuk masa hadapan diri sendiri, anak-anak dan keluarga.
Selain menabung sendiri, pengguna juga boleh membuat pelaburan jangka panjang sama ada berisiko rendah atau tinggi.
Di Malaysia, terdapat banyak pelaburan yang boleh dilakukan antaranya pelaburan hartanah, emas, saham mahupun unit amanah.
Bagaimanapun, pengguna perlu berhati-hati memilih pelaburan, jangan tersalah pilih pelaburan yang berupa skim cepat kaya atau pelaburan yang menjanjikan imbuhan berupa wang tunai yang berlipat kali ganda.
Jadilah pengguna bijak dengan memilih bentuk pelaburan diyakini, dipercayai dan memberikan pulangan berbaloi.