Cari Data Anda Nak

Pelawat Sejak Mac 2009

Khamis, 22 Februari 2018

Mulakan perniagaan atas talian tak sukar

Mulakan perniagaan atas talian tak sukar

SEBUT sahaja Mudah.my, Lazada, Shopee, 11Street, Zalora, FashionValet dan Alibaba, ramai yang sudah kenal nama-nama ini sebagai kedai atas talian terkenal di Malaysia.
Bahkan jika sebut Facebook atau Instagram sekalipun, semakin ramai rakyat Malaysia melihat laman media sosial ini bukan semata-mata tempat beramah mesra dengan rakan-rakan tetapi juga untuk membeli-belah.
Satu kajian oleh iPrice Group melaporkan, sehingga Ogos 2017 nilai industri e-dagang di negara ini bernilai RM24.6 bilion.
Pada Julai 2017, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelbagai usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) industri e-dagang daripada 5.4 peratus pada 2015 kepada sembilan hingga 10 peratus menjelang 2020.
Dengan peningkatan kos hidup hari ini, semakin ramai menjalankan perniagaan atas talian untuk menjana pendapatan kedua.
Tanpa memerlukan modal besar atau kemahiran canggih mengendalikan komputer, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan dengan risiko kerugian sifar atau sangat minimum.
Bahkan, ada juga yang pada mulanya menjalankan perniagaan ini secara sambilan akhirnya menjadikannya sumber pendapatan utama dengan ramai meninggalkan pekerjaan makan gaji mereka.

Mula tanpa modal

Dalam ‘Seminar Mula E-Commerce’ di sini, pada 20 Januari lalu, lebih 100 orang awam yang berminat dengan perniagaan atas talian hadir mempelajari ilmu asas.
Seminar selama sehari ini menggabungkan empat penggiat perniagaan atas talian untuk memberi bimbingan cara memulakan perniagaan atas talian daripada peringkat asas menggunakan platform percuma hinggalah cara membesarkan perniagaan menggunakan ruang internet berbayar.
Pengasas kedai barangan ibu dan anak thebabystore.com.my, Syed Rosman Hashimy Syed Alwi, 33, menjadi penceramah pertama seminar.
Beliau berkongsi pengalamannya menceburi bidang perniagaan atas talian sejak 2013.
“Perniagaan atas talian boleh dimulakan tanpa kos sekiranya seseorang itu sudah pun memiliki komputer dan capaian internet. Dua cara mudah adalah menjadi ejen ‘dropship’ atau menjual dengan cara mengambil pesanan awal.
"Sebagai contoh, jika ada kilang keropok lekor berdekatan tempat tinggal, iklankan produk kilang itu di internet. Jika ada tempahan, minta pelanggan buat bayaran penuh termasuk kos penghantaran. Dengan duit itu, penjual beli produk, hantar kepada pelanggan dan nikmati untung daripada jualan itu,” katanya.

Banyak platform

Syed Rosman turut berkongsi peta jalan yang memberi panduan kepada peniaga baharu membangunkan perniagaan sesuai dengan tahap kemampuan mereka.
Langkah pertama yang dicadangkan beliau adalah bermula dengan membuat jualan di laman pasaran mudah.my kerana laman ini memberi kemahiran asas dalam membuat penyenaraian produk. Laman ini juga tidak mengenakan sebarang caj perkhidmatan.
Setelah mahir, peniaga boleh berpindah ke laman pasaran lain seperti Shopee, Lazada dan 11Street. Ada antara laman ini mengenakan caj perkhidmatan dan ada yang percuma.
Apa yang penting kata Syed Rosman, di peringkat ini peniaga boleh fokus kepada aktiviti jualan dan perkhidmatan pelanggan kerana mereka tidak perlu memikirkan aspek teknikal seperti pewujudan dan penyelenggaraan laman sesawang yang memerlukan skop kemahiran yang jauh berbeza.
Di peringkat ini juga peniaga tidak perlu fokus melaburkan wang untuk aktiviti promosi seperti Facebook Advertisement dan Google Advertisement kerana pemilik laman pasaran akan menggalas tanggungjawab itu.
“Kesempatan ini boleh digunakan peniaga untuk meningkatkan kecekapan operasi, menyusun aliran tunai yang baik dan merancang dengan baik sebelum mewujudkan platform e-dagang mereka sendiri,” katanya.

Tingkatkan kepercayaan

Bagi pengasas laman notabisnes.net, Ahmad Izwan Abdul Wahab, 35, dua perkara penting menjana kepercayaan pelanggan urus niaga atas talian adalah kepercayaan pembeli terhadap diri penjual dan keberkesanan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Dikenali sebagai pemudah cara dalam kalangan usahawan atas talian, Ahmad Izwan menekankan untuk meningkatkan kepercayaan, interaksi secara konsisten memainkan peranan utama. Semakin kerap mereka 'melihat’ peniaga, semakin meningkatlah kepercayaan.
“Kemudian baru kita masuk kepada menjaga hati pelanggan. Definisi pelanggan di sini adalah mereka yang membeli produk walaupun ia hanyalah sampel bernilai RM1.
“Dengan maklumat peribadi pelanggan seperti nombor telefon dan alamat emel, kita sentiasa berkomunikasi dengan mereka berhubung status pembelian seperti status pesanan mereka, produk sudah dibungkus, sudah dihantar dan akhir sekali pertanyaan jika mereka sudah menerima produk yang dibeli.
"Bisnes yang menghubungi dan menjaga kepentingan pelanggan secara proaktif akan mendapat kepercayaan tinggi pelanggan walaupun tanpa bersua muka," tegasnya.- Bernama

Selasa, 13 Februari 2018

KWSP isytihar dividen 6.90% bagi 2017

KWSP

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus bagi Simpanan Konvensional 2017 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion dan 6.40 peratus bagi Simpanan Syariah, dengan agihan dividen  RM3.98 bilion.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah keseluruhan agihan dividen bagi 2017 adalah sebanyak RM48.13 bilion, peningkatan 29.8 peratus dari 2016.
Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, keseluruhan prestasi 2017 adalah juga merupakan tahun yang penting bagi KWSP memandangkan ia kini menguruskan dua skim simpanan dan mengisytiharkan dua kadar dividen.
“Simpanan Syariah menunjukkan prestasi yang kukuh untuk pengisytiharan dividen pertama.

“Ini membuktikan prestasi aset Syariah KWSP yang mapan, seterusnya memberikan berita baik kepada ahli kami yang telah bertukar kepada Simpanan Syariah. Untuk Simpanan Konvensional, kadar 6.90 peratus merupakan kadar tertinggi pernah diumumkan semenjak 1997,” katanya.

KWSP berkata, pengagihan dividen bagi setiap akaun diperoleh daripada jumlah pendapatan nyata selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, kerugian tidak nyata yang disebabkan oleh kadar pertukaran  mata wang asing dan harga instrumen derivatif, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.
Simpanan Syariah hanya memperoleh pendapatan mengikut bahagiannya daripada aset Syariah manakala bagi Simpanan Konvensional, sebanyak 38 peratus pendapatan  diperoleh daripada aset Syariah dan 62 peratus daripada aset Bukan Syariah.
Sementara itu, pendapatan pelaburan kasar bagi 2017 adalah sebanyak RM53.14 bilion, jumlah tertinggi sejak penubuhan KWSP pada 1951.

KWSP berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM4.60 bilion diatribusikan kepada Simpanan Syariah,  mengikut bahagiannya daripada jumlah keseluruhan  aset Syariah manakala RM48.54 bilion diatribusikan kepada Simpanan Konvensional.
Pulangan bagi Simpanan Konvensional ditingkatkan oleh pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan bukan Syariah berikutan peningkatan prestasi saham perbankan sedunia manakala Simpanan Syariah tidak dilaburkan dalam saham perbankan konvensional memandangkan ia tidak patuh Syariah.

Di samping itu, KWSP berkata, rosot nilai ekuiti daripada saham patuh Syariah, terutamanya daripada sektor minyak dan gas dan telekomunikasi telah menurunkan pendapatan portfolio Syariah KWSP.
Samsudin berkata sememangnya akan terdapat perbezaan pulangan Simpanan Syariah berbanding Simpanan Konvensional dalam jangka pendek.
“Bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, prestasi kedua-dua skim ini dijangka tidak akan jauh berbeza memandangkan kedua-duanya mempunyai objektif dan strategi pelaburan yang sama.

“Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, objektif kami adalah untuk melindungi dan menambah nilai simpanan persaraan ahli kami dan ini boleh dinilai daripada kadar dividen yang diisytiharkan berbanding kadar inflasi Malaysia.
“Bagi 2017, kadar dividen yang diisytiharkan untuk Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional masing-masing adalah pada 2.61 peratus dan 3.11 peratus melebihi kadar inflasi sebanyak 3.79 peratus,” katanya.
Beliau berkata sepanjang tiga tahun lepas, KWSP telah mengisytiharkan  kadar dividen melebihi sasaran dua peratus dividen sebenar masing-masing sebanyak 3.51 peratus dan 3.67 peratus.

Mengenai pengagihan dividen 2017 sebanyak RM48.13 bilion, beliau berkata, jumlah yang perlu diagihkan untuk setiap satu peratus kadar dividen adalah RM7.02 bilion, selaras dengan pertumbuhan tahunan baki simpanan ahli sebanyak 10.98 peratus sejak 1990.
Setakat 31 Disember 2017, jumlah simpanan ahli adalah sebanyak RM768.51 bilion, yang mana RM67.76 bilion adalah di bawah Simpanan Syariah dan RM700.75 bilion di bawah Simpanan Konvensional.
“Ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi dalam menguruskan dana yang besar seperti KWSP bagi menjana pulangan pelaburan yang konsisten dan mampan untuk jangka panjang.

“Ini juga merupakan tujuan mengapa kami mempelbagaikan ke pasaran luar negara memandangkan peningkatan nilai aset global telah memberikan peluang kepada kami untuk mengaut keuntungan daripada pasaran dan kelas aset yang berbeza,” katanya.
KWSP berkata jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi 2017 adalah sebanyak RM53.14 bilion meningkat 14.13 peratus daripada RM46.56 bilion pada 2016 dan jumlah itu telah meningkat sebanyak 11.90 peratus sejak 2007, dan bersamaan dengan 7.30 peratus pulangan atas pelaburan (ROI).

Samsudin berkata pelaburan KWSP telah memberikan ROI tahunan tiga tahun sebanyak 7.30 peratus dan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan memandangkan KWSP adalah sebuah dana seimbang dengan pendedahan sebanyak 50 peratus terhadap instrumen pendapatan tetap.

Menurut KWSP, pengkreditan dividen 2017 akan dilaksanakan pada Ahad , 11 Februari 2018, dan ahli boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau menerusi aplikasi mudah alihi-Akaun.
Ahli-ahli yang ingin menukar ke Simpanan Syariah 2019 boleh mendaftar sebelum 24 Disember 2018. - Bernama

Isnin, 5 Februari 2018

‘Datuk Seri’, 3 ‘Datuk’ ditahan tipu pelaburan lebih RM27 juta

sindiket-penipuan-pelaburan-emas-dan-minyak
KUALA LUMPUR: Seorang ‘Datuk Seri’ dan 3 ‘Datuk’ antara 6 ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan emas dan minyak (oil bunkering) yang mengakibatkan kerugian RM27.5 juta di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 26 Januari lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata semua suspek berusia 42 hingga 62 tahun itu ditahan selepas polis menerima 193 laporan di seluruh negara membabitkan sindiket berkenaan sejak Oktober 2015 hingga Disember 2017.
“Suspek ditahan terdiri daripada pengarah syarikat dan penganjur skim berkenaan manakala sindiket itu menjalankan operasi mereka dengan menawarkan 2 pelaburan utama iaitu jual beli jongkong emas serta minyak dengan memberi pulangan lumayan bagi tempoh 9 bulan.
“Bagi skim pelaburan jongkong emas, pelabur dijanjikan pulangan lumayan 2% sebulan, manakala pelaburan minyak sebanyak 15% setiap bulan, juga bagi tempoh 9 bulan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata suspek juga mendakwa mereka mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja serta orang kenamaan bagi menambah keyakinan pelabur terhadap skim ini.
Selain itu, Amar berkata dalam serbuan yang dijalankan, pihaknya turut merampas 8 kenderaan mewah milik suspek, 8 telefon bimbit, 3 kad ATM, 4 kepingan emas, 3 jam tangan berjenama, 5 buku cek dan wang tunai yang bernilai RM200,000.
http://www.freemalaysiatoday.com

Post Paling Popular

Post 7 Hari Popular

Followers

Senarai Blog Bisnes

Arkib Blog