
Dewan Pemuda PAS Kota Bharu merasa bimbang dengan perkembangan mutakhir yang berlaku di dalam PAS khususnya kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat selepas pemergian ke rahmatullah Almarhum Mursyidul Am, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Jika kita masih ingat, pada 9 September 2014 lalu, Tuan Guru pernah menyebut: “Kita tiga parti yang berpakat melawan Umno. PAS adalah kakak yang tua, sudah ada dari 1951 lagi.

Orang PAS ada pengalaman yang begitu banyak sebelum orang lain.” Selaku abang sulung di dalam PR, PAS sudah sepatutnya menerima penghormatan dari parti-parti yang lebih muda usianya, iaitu PKR dan DAP. Jika ada perkara yang PKR dan DAP tidak bersetuju maka sepatutnya perkara ini hendaklah dibincangkan secara tertutup. Selaku abang sulung juga di dalam PR, pimpinan PAS juga seharusnya perlu lebih bijaksana mengawal emosi.
Tidak perlulah kita melayan semua kenyataan yang dibuat adik-adik kita, yang perlu dilayan kita hanyalah kenyataan rasmi yang dibuat mereka sahaja. Sebab itulah Dewan Pemuda PAS Kota Baharu terperanjat dengan reaksi keras Penolong Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, ke atas kenyataan Gobind Singh Deo mengenai isu perlaksanaan hudud di Kelantan. Kata Takiyuddin di muka depan akhbar Sinar Harian dan akhbar-akhbar lain hari ini, “PR bukan kepunyaan DAP.




