Bangunkan ummah dengan al-Quran

 Antara yang menghadiri Seminar Keajaiban Al-Quran di Pusat Pengajian Sains Kesihatan.

KOTA BHARU -  Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) berhasrat membangunkan ummah melalui semangat al-Quran selepas peristiwa banjir besar dengan mengaktifkan Rumah Ngaji.

Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhaini Yusoff berkata, sehingga kini 65 Rumah Ngaji berjaya diaktifkan di seluruh negara dan menyasarkan sekurang-kurangnya 50 di Kelantan pada tahun ini.

“Membina jiwa menerusi al-Quran, akhlak dan karakter amat perlu dalam melahirkan Muslim sejati, bila faham betul-betul tidak ada persepsi negatif kepada orang lain, malah kasih sayang bertambah baik.

“Sebab itu kita jayakan dua hari Seminar Keajaiban Al-Quran di mana lebih 200 terlibat terdiri dari imam, ustazah, ustaz dan orang awam. Ini medium untuk mereka cetuskan dan lahirkan kecintaan terhadap al-Quran menerusi perkongsian dalam Rumah Ngaji kepada masyarakat,” katanya.


Seminar yang berlangsung selama dua hari di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) turut diserikan dengan kehadiran penceramah dari Akademi Al Badar, Shamsul Mohd Nor dan penceramah WUI, Fazrul Ismail.

Turut serta Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor; wakil PPSK, Prof Dr Mohamed Saat Ismail.

Sehingga kini Rumah Ngaji  diaktifkan di Masjid Kampung Laut, Tumpat; Masjid lundang, Kota Bharu dan Bukit Abal, Pasir Puteh dan lebih banyak akan menyusul dalam perancangan WUI.

Menurut Marhaini, menerusi seminar itu, peserta yang hadir terdiri daripada imam, ustaz dan ustazah diberikan penerangan dan cara menggunakan al-Quran yang disumbangkan oleh Kumpulan Media Karangraf dan individu berjumlah RM1 juta kepada masjid-masjid di Kelantan.

“Kita sudah agih al-Quran sumbangan ke sesetengah masjid dan dijangka selesai sepenuhnya diagihkan Mac depan. Kita tidak mahu hantar sahaja tanpa beri penerangan dan manfaatnya.

“Kita harap mereka yang hadiri seminar ini menjadi ejen perubahan dalam mengaktifkan Rumah Ngaji menerusi ilmu yang mereka dapat menerusi seminar ini,” katanya.

Marhaini menyeru agar lebih ramai yang tampil membantu dalam melancarkan lagi matlamat murni tersebut.

“Kita mohon lebih ramai tampil membantu ustaz, imam dan ustazah yang berkorban masa dan tenaga dalam menjayakan Rumah Ngaji. Karangkraf sudah beri al-Quran, sekurang-kurangnya mereka yang lain membantu khususnya masyarakat dari segi elaun buat mereka,” katanya.

Sinar Harian

Ulasan

  1. Alhamdulillah, usaha yg sangat baik, namun:-
    1. Tiada disebut megenai tadabbur al Qur an dlm sukatan pengajian, dan strusnya pengamalan cara hidup menurut al Qur an,
    2. Masaalah ekonomi atau pembiayaan. Dipondok yg gue sikit2 terlibat, diusaha (bertempat di pekan berdekatan) kedai fotostat, alatulis, dan alat2 keperluan 'ibadah, yg sikit sebanyak menyumbang kpd pondok dan memberi pendedahan selok belok perniagaan. Juga ada cadangan untuk menternak kambing dan menanam pokok pisang.
    Buatlah yg terbaik, insyaAllah.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Ulaslah Yang Terbaik..