Menurut Nurul Izzah, komik 16 halaman bertajuk "Kisah Juara Raja Lawak" yang mempersendakan Anwar - yang juga bapanya - dihantar kepada pengundi baru di kawasan parlimennya di Lembah Pantai.
Dalam laporan polisnya, Nurul Izzah antaranya mendakwa, pengedaran komik itu berniat jahat "kelihatan seperti suatu kempen" bagi menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Anwar serta imej beliau sendiri sebagai anak sulungnya.
Nurul Izzah membuat laporan polis itu di Ibu pejabat polis Dang Wangi kira-kira jam 2.40 petang ini.
Turut mengiringi beliau empat orang termasuk Ketua Pemuda PKR cabang itu Abdullah Izhar Yusof dan seorang peguam.
Dalam aduannya, Nurul Izzah berkata pengedaran komik tersebut adalah satu kesalahan mengikut seksyen 292 dan 499 Kanun Keseksaan.
"Pengedaran pamplet lucah adalah satu kesalahan di bawah seksyen 292(a) Kanun Keseksaan di mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjaara tiga tahun atau dikenakan denda, atau kedua-duanya.
"Dan juga seksyen 499 yang boleh dihukum di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan di mana mereka yang didapati bersalah memfitnah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya," laporan polis itu dipetik.
Dalam laporan polis itu juga, Nurul Izzah mengesyaki komik tersebut dihantar melalui pos kepada lebih ramai lagi pengundi baru di kawasan parlimennya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis untuk menyiasat aduan beliau "dengan pantas, adil dan menyeluruh".
Katanya, ia bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab bermain politik lucah di bawa ke muka pengadilan secepat mungkin.Ditanya selepas itu, bila dan bagaimana beliau mendapatkan komik tersebut, Nurul Izzah berkata, beliau menerimanya semalam daripada seorang pengundi baru.
Menjawab soalan, Nurul Izzah berkata, beliau tidak pasti berapa ramai pengundi yang menerima komik tersebut.
Sementara itu, dalam kenyataan medianya, Nurul Izzah menggesa semua pimpinan politik - tidak mengira parti mereka - supaya mendokong sebuah politik baru yang menolak politik fitnah atau lucah.
Katanya, politik tersebut menghancurkan nilai integriti dan manusiawi.
"Rakyat menuntut pimpinan yang berwibawa dan memepertahankan etika moral. Janganlah kita menghampakan harapan rakyat," katanya.
Nurul Izzah bagaimanapun enggan menunjukkan kandungan komik itu kepada pemberita, kerana tidak mahu pihak dituduh "mempromosikan gambar lucah".
Dalam laporan polisnya itu, Nurul Izzah turut menggesa polis menyiasat empat aduan polis bapanya berhubung dakwaan salahguna kuasa mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohomad dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, seperti yang disebut dalam surat terbuka Datuk Mat Zain Ibrahim - bekas pegawai penyiasat tragedi mata lembam Anwar - kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam.
Laporan polis itu bertarikh antara 9 Julai hingga 20 Ogos 1999.MalaysiaKini
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..