Mengapa Takut Dengan Perubahan



Pagi ini terpampang amaran pemimpin Umno agar pembangkang jangan bermain api. Amaran ini dikeluarkan oleh pimpinan Umno kerana para pemimpin Pakatan Rakyat memulakan inisiatif membandingkan antara tuntutan Perubahan yang diungkapkan di Timur Tengah serta Afrika Utara dengan tuntutan Perubahan di Malaysia.

Sebenarnya apa yang Pakatan Rakyat lakukan sekadar mengingatkan kerajaan agar mengambil iktibar akan beberapa persoalan mendasar yang menjadi punca kemarahan penduduk di Libya, Mesir dan Tunisia misalnya. Apakah peringatan yang diungkapkan kita agar kekayaan jangan hanya tertumpu kepada segelintir manakala masih ramai yang terpaksa membanting tulang untuk sesuap nasi itu suatu usaha meniup kebencian? Apakah usaha kita mendedahkan betapa 1.36 juta(34%) dari 4 juta pekerja di Malaysia dibayar kurang dari RM 700 sebulan, manakala 40% dari keseluruhan rakyat Malaysia hanya menikmati pendapatan isi rumah kurang dari RM 1500 itu suatu usaha hasutan? Hanya mereka yang memahami Demokrasi itu sekadar pilihanraya 5 tahun sekali menganggap usaha mengungkapkan kebenaran sebagai suatu hasutan.

Nah sekarang apa bezanya propaganda diktator di sana dengan regim Umno-BN di sini? Ternyata yang menghasut dan meniup kebencian adalah pimpinan Umno-BN, bukannya Pakatan Rakyat. Hampir setiap hari tohmahan dilemparkan kepada pimpinan Pakatan Rakyat seumpama agen pengkhianat dan agen asing. Modus operandi yang sama digunakan oleh diktator di Mesir dan Libya terhadap penentangnya. Cumanya, hanya di Malaysia, regim pemerintah berusaha menghalang kemaraan Perubahan dengan fitnah liwat.

Persoalannya mengapa pimpinan Umno-BN begitu gusat dengan Perubahan yang melanda Timur Tengah dan Afrika Utara sekiranya negara kita tidak berhadapan dengan permasalahan tersebut. Oleh kerana terlalu takut, Dato’ Sri Najib, sepertimana yang dilaporkan National Review, sanggup meragui sosok ulama terkenal, Sheikh Yusuf al Qaradawi serta menuduh gerakan Ikhwan al Muslimun masih terbabit dengan keganasan. Apa yang pasti, laungan mahu melaksanakan perubahan oleh pimpinan Umno hanya sekadar kosmetik politik. Rakyat sedar pengumuman demi pengumuman langsung tidak membawa manfaat kepada mereka melainkan menguntungkan mereka yang dekat dengan pemerintah. Justeru kepada pemimpin Umno-BN yang mengeluarkan amaran itu, saya ingatkan mereka, “Hanya mereka yang makan cili terasa pedasnya.”

ANWAR IBRAHIM



Ulasan