Penamaan KWSP, ramai 'serah kepada majikan'

KWSP e-bayaran.

KUCHING - Jika ditanya kepada mana-mana pekerja mengenai simpanan hari tua KWSP, kebanyakannya sedar mengenai peri pentingnya untuk menamakan penerima atau wasi bagi caruman mereka andai ditakdirkan mereka 'pergi' sebelum hari tua, malah ramai menganggap ia sebagai ‘tanggungjawab penting’.

Namun apabila unsur seperti polisi, terma, peraturan dan sebagainya diutarakan, tidak ramai dapat memberikan jawapan yang tepat, sebaliknya ramai menganggap ia  perkara enteng yang jarang-jarang sekali didengar apa-apa masalah mengenainya.
Muhammad Elyias Omar, 30, perancang kewangan sebuah bank di sini, mengakui kenyataan ini kerana dalam tugasan hariannya, beliau perlu tahu mengenai selok belok pengurusan kewangan dan menurutnya beliau faham benar bahawa ramai yang ditemui mengambil mudah berkaitan soal penama KWSP.

Malah beliau sendiri sedar mengenai pentingnya soal penamaan selepas diberi taklimat semasa baharu memulakan tugas di bank itu kira-kira tujuh tahun lalu, selepas taklimat beliau terus ke pejabat KWSP untuk menguruskan segalanya, termasuk soal penama.
Muhammad Elyias berkata, usaha KWSP untuk mengukuhkan lagi pemahaman ahli dan penama mengenai tanggungjawab masing-masing dalam membahagikan harta harus dipuji, malah ia perlu ditingkatkan lagi.

Beliau berkata, ada juga individu yang ditemui langsung tidak ambil tahu mengenai perkara itu, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada majikan, atau lebih tepat lagi bahagian Sumber Manusia, untuk menguruskannya.
"Ramai tidak mengambil berat mengenai perkara ini kerana jarang-jarang sekali masalah mengenainya didengar, kerana bagi mereka soal ini ‘tidak kena pada mereka’, tetapi percayalah ia adalah tanggungjawab, perlu diambil tahu, sentiasa dikemaskini di pejabat KWSP dan kemungkinan masalah timbul kepada waris  pencarum tidak boleh dinafikan terus begitu sahaja," katanya.

Bagi Muhamad Fitri Othman, 38, pula semasa dihubungi berkata segalanya diserahkan kepada bahagian Sumber Manusia di kilangnya bekerja, kerana menurutnya adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk mengendalikan perkara itu.
Katanya apabila menyambut kelahiran baharu, beliau tidak lupa untuk memaklumkan kepada bahagian Sumber Manusia mengenainya, dan ketika itu beliau akan diberi borang untuk menamakan bahagian buat warisnya.

Muhamad Fitri berkata, pada borang itu beliau dikehendaki menamakan waris-warisnya, di samping berapa peratus diperuntukkan kepada isteri dan anak-anaknya.
Sementara itu seorang lagi pencarum yang dihubungi, Hanaliza Mohd Hassan, 31, berkata beliau faham bahawa hingga kini selepas 16 tahun bekerja, beliau masih belum menamakan penama, dengan alasan ‘tidak ada kelapangan’ untuk ke pejabat KWSP.
Beliau yang mempunyai seorang anak yang berumur 7 tahun berkata, beliau tidak melihat soal penamaan itu sebagai isu besar dan setakat ini beliau belum mendengar isu itu menjadi masalah besar kepada sesiapa.

Presiden Persatuan Kewangan Islam dan Pengurusan Harta Malaysia (AIFiWM) Rohani Mohd Shahir ketika dirujuk mengenai perkara itu berkata pencarum sendiri perlu mengambil berat soal penama dan pergi sendiri ke pejabat KWSP untuk sentiasa 'ambil tahu' mengenainya, kerana persoalan itu sebenarnya 'bukan berkaitan majikan'. - Bernama

Ulasan