Simpan rekod perniagaan selepas penghapusan GST

GST baru

SYARIKAT-syarikat harus terus menyimpan rekod perniagaan mereka selepas penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana audit terhadap cukai enam peratus berkenaan dijangka akan terus berlaku yang akan mengambil masa sehingga tujuh tahun dari masa pembekalan, kata Ernst & Young Advisory Services Sdn Bhd.
Firma berkenaan juga  berkata, peraturan dan kewajipan GST akan terus diterapkan, termasuk memfailkan pemulangan GST, pengeluaran invois cukai serta tuntutan kredit cukai input, di mana perlu, selain pelarasan hutang lapuk.  

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di bawah kerajaan Pakatan Harapan, mengarahkan GST pada kadar sifar mulai 1 Jun, 2018 dan akan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).“Peniaga perlu memahami kesan terhadap arahan kadar sifar seperti yang membabitkan harga dan sistem cukai,” kata Rakan Pengurusan Cukai Aseannya, Yeo Eng Ping, dalam satu kenyataan.

Proses peralihan  dari GST ke SST, mungkin mengambil masa yang singkat, justeru memerlukan pengurusan yang berhati-hati, katanya dan menambah sesebuah organisasi perlu memberikan tumpuan yang cukup selain sumber untuk memastikan proses peralihan yang lancar, mengelakkan risiko dan merebut peluang baharu.
“Kami juga menjangkakan pembaikan insentif cukai untuk menggalakkan pelaburan yang tepat ke Malaysia yang dapat merangsang transformasinya ke dalam ekonomi baharu.
“Adalah diharap bahawa pengenalan SST yang baharu dapat dilakukan dengan kaedah di mana ia sensitif kepada operasi perniagaan serta mengambil kira sumber dan kos yang dikaitkan dengan perubahan,” kata Yeo.

SST dilaksanakan di Malaysia selama 40 tahun sebelum ia digantikan dengan GST pada 1 April, 2015.

Ernst & Young Advisory Services menjangka akan ada beberapa perubahan dasar dalam masa terdekat, termasuk semakan yang komprehensif terhadap polisi dan kerangka cukai kerana kerajaan turut menimbangkan bagaimana ia dapat melaksanakan dan membiayai perancangan pembangunan dan sosial sambil terus mengekalkan daya saing cukai.
Untuk itu, cukai baharu mungkin dipertimbangkan.

Kemungkinan akan ada pembaikan terhadap insentif cukai untuk menggalakkan pelaburan yang tepat ke Malaysia sebagai sebahagian daripada perancangan yang besar untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan menarik yang menyumbang kepada transformasinya ke dalam ekonomi baharu, selain memberi fokus membantu sektor tertentu seperi perniagaan kecil dan sederhana. - Bernama

Ulasan