Tun Daim ramal Harapan tawan Putrajaya

Tun Daim Zainuddin

LANGKAWI – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meramalkan Pakatan Harapan (Harapan) akan menawan Putrajaya pada PRU14.
Menurut  beliau, jangkaan itu bersandarkan kepada ‘mood’ rakyat yang rata-ratanya menginginkan perubahan kerajaan.
“Ke mana  saja saya pergi, orang akan bertanya saya apa kamu jangka keputusan PRU14... saya kata Pakatan Harapan akan menang. Insya-ALLAH.
“Mood nak perubahan,  rakyat nak tukar, nak ubah. Tapi perlu hati-hati kerajaan akan buat apa saja untuk menang,”katanya ketika sidang media, di sini, petang tadi.
Daim berkata, sebelum berjuang bersama Harapan beliau pernah menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai cara urus tadbir negara.
“Saya dengan Najib kawan baik, kawan lama, jadi ada cara untuk nasihat takkan saya nak bagitau semua.
“Sebab bila saya kempen untuk Pakatan Harapan beliau (Najib) tak cakap seperti Tan Sri Shahrizat Jalil, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri  Hishamuddin Tun Hussein sebaliknya Najib cuma kata saya veteran dan pencen.. betul lah tu, yang lain tu tak faham,” ujarnya.
Bekas veteran Umno itu menegaskan bahawa, pemimpin-pemimpin baharu tidak layak mencabar beliau.
“Bila saya kata apa-apa tak payah cabar saya, ada banyak fakta,ada angka, saya lebih pengalaman,” ujar Daim.
Beliau menjelaskan, kemunculan semula dalam arena politik tanpa kepentingan kerana matlamat utamanya ialah membela nasib rakyat.
“Orang macam kami dah tak penting, kami berjuang untuk orang muda.Kenapa Dr mahathir kembali? Umur 93, tua pun dia marah dia kata kuda tua, yang muda dia kata kucing... apa punya ni?
“Bila minta berdebat tak berani debat.Lebih baik ada kuda tua ada otak, daripada kuda muda tak ada otak, buat apa? Soalnya.
Daim menyatakan beliau tidak perlu sertai Bersatu, sebaliknya tujuan utamanya membuat ‘come back’ ialah  untuk berjuang demi rakyat, keadilan, memastikan tiada rasuah dan tiada pembaziran.
“Jika lepas ni kalau Harapan  bentuk kerajaan tiada keadilan, tak bela rakyat, saya akan melawan bersama rakyat.
“Saya dah tua pun, apa yang penting ialah rakyat, integriti dan undang-undang,” katanya.

Sinar Harian Online

Ulasan