Selangor belum putus bubar Dun serentak - MB

Harakahdaily, 06 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor hanya akan membuat keputusan sama ada membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) serentak atau berasingan dengan Kerajaan Persekutuan, selepas menilai keberkesanan Program Pengukuhan Demokrasi yang dijalankan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Program Pengukuhan Demokrasi itu kini masih berjalan di seluruh Dun di negeri ini dan sebahagiannya telah selesai.

“Sebab utama kita belum buat keputusan (bubar DUN serentak atau tidak) kerana kita mahu memastikan pengundi dalam daftar pemilih SPR benar-benar bersih dan sebab itu juga kita wujudkan Program Pengukuhan Demokrasi ini,” ujarnya.

“Setakat ini 29 daripada 56 DUN sudah kita terima maklumat selepas terlibat dengan Program Pengukuhan Demokrasi, manakala bakinya belum lagi," katanya kepada Keadilandaily.

Sehubungan itu kata Khalid, mesyuarat khas mengenainya akan diadakan pada 17 Ogos ini bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan kumpulan berkaitan.

Program Pengukuhan Demokrasi dilaksana Kerajaan Selangor bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai hak demokrasi rakyatnya termasuk membantah pengundi tidak sah atau diragui dalam daftar pemilih SPR.

Selangor sebelum ini mengesan pertambahan pengundi baru dengan jumlah yang sangat luar biasa dipercayai ada kaitan dengan usaha pihak tertentu merampas negeri itu pada PRU-13 akan datang.

Kerajaan negeri juga sebelum ini melancarkan program Selangorku Bersih dalam usaha menjejak pengundi baru tersebut dan masih berjalan sehingga hari ini.

“Kita juga sedang meneliti dengan penuh minat penambahan dan pendaftaran pengundi baru seramai 490,000 orang di negeri ini,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak..

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya mengulas mengenai kemungkinan Parlimen dibubar antara September hingga November tahun ini.

Ulasan