Fahaman liberalisme yang mula menular dalam pergerakan Islam di Malaysia

Prof Emeritus Datuk Mahmood Zuhdi Abd Majid

 Iklan Penaja
PENJIMAT MINYAK PETROL  

BERBAIK!!! UNTUK KENDERAAN ANDA

SHAH ALAM – Fahaman liberalisme yang mula menular dalam pergerakan Islam di Malaysia adalah reaksi terhadap sikap ulama yang terlampau konservatif.

Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa, Prof Emeritus Datuk Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, sekiranya tiada keseimbangan antara kedua-duanya, dikhuatiri akan menjejaskan kesatuan ummah.

“Jika sikap konservatif melampau ini dihadapi dengan reaksi yang melampau, maka akan melahirkan liberalisme yang melampau. Kalau mahu bendung liberalisme ini, kita juga perlu lihat balik sikap para ulama yang sangat konservatif.

“Ia bagi memastikan imbangan itu ada. Kalau tidak ia akan menjadi suatu permusuhan yang menghancurkan kesatuan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cubaan membawa fahaman liberal ke negara ini, termasuk usaha membawa tokoh liberal dari Indonesia, Dr Ulil Abshar Abdalla dan penganjuran program I Want to Touch a Dog yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini serta penguatkuasaan kewajipan bersolat Jumaat di Kelantan yang dikritik sekumpulan peguam.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan agar pihak berkuasa di negara ini lebih terbuka untuk memberi ruang perdebatan.

“Sepatutnya pihak berkuasa kita lebih bersedia untuk menyiapkan pasukan kepakaran untuk menghadapi mereka ini. Wacana pemikiran Islam sama ada liberalisme atau konservatif perlu diadakan secara teratur agar masyarakat boleh menilai.

“Sebab masyarakat sekarang terutamanya golongan muda sudah tahu menilai. Mereka juga bersikap memberontak dan kita tidak boleh halang pemberontakan ini dengan ‘potong’ begitu saja tetapi perlu beri ruang,” katanya.

Bagaimanapun, mengulas mengenai penganjuran I Want to Touch a Dog, beliau berkata, adalah tidak wajar untuk melabel mereka yang terlibat sebagai liberal.

“Program ini bukan satu daripada agenda liberalisme, cuma agenda lain yang menggunakan sikap liberal sebagai senjata untuk mengacau-bilaukan masyarakat Islam. Ia memang membimbangkan sebab kita diasak setapak demi setapak.

“Saya tak nampak mereka ikhlas nak melakukan pembaikan terhadap agama Islam. Misalnya, mengapa soal anjing nak ditimbulkan sedangkan apa masalahnya yang dihadapi masyarakat Islam?

Adakah sebab kita tidak pegang dan bela anjing, rumah kita dimasuki perompak? Jadi tidak ada sebab untuk kita bincang pasal anjing tapi disogok sebegitu,” katanya.

Menurutnya, dalam masyarakat yang kurang pendidikan agama, penganjuran program seperti itu boleh menimbulkan kekeliruan.

"Kalau tengok dari perspektif mazhab (berhubung hukum menyentuh anjing), kita akan berbalah sampai bila pun sebab ada yang kata harus dan tidak,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau turut menyifatkan golongan yang mencampur-adukkan pandangan pelbagai mazhab bagi sesuatu isu sebagai ‘mereka yang keliru dan tidak ikhlas’.

Malah, katanya, tindakan membawa mazhab lain dan mencampurkannya boleh diibaratkan sedang merobohkan benteng pertahanan masyarakat Islam di Malaysia yang berpegang teguh dengan mazhab Syafie.

sh

Ulasan