Zina punca buang bayi berleluasa [ kerajaan kena sedar dan bertindak ]

 Iklan Penaja
http://usahawanjutawan33.blogspot.com/p/siapa-di-antara-andayang-ingin.html
SECARA fitrah, manusia berkembang biak melalui proses persenyawaan telur antara benih lelaki dan wanita, yang kemudiannya menghasilkan segumpal darah dan membesar dalam rahim seorang wanita.

Fitrah itu juga mensyaratkan agar benih yang lahir itu mestilah zuriat yang sah dan proses pengesahannya adalah dengan perkahwinan.

Pada zaman dahulu, jika seseorang wanita melahirkan anak tanpa ikatan perkahwinan yang sah, akan menerima kutukan dan seksaan budaya masyarakat. Kerana itulah ramai ahli masyarakat menjadi takut sehingga cepat-cepat melangsungkan perkahwinan anak perempuan sebaik sahaja melepasi umur baligh.

Perkembangan pemikiran manusia telah menyebabkan peraturan moral sedemikian semakin diketepikan, kerana ada menganggap perkahwinan mengongkong dan proses pembubarannya menempuh liku dan tempoh yang panjang.

Ini telah menyemarakkan satu pandangan baru, iaitu atas persetujuan bersama lelaki dan wanita, boleh tinggal sebumbung selama mana mereka mampu bertahan tanpa ikatan perkahwinan.

Pelenturan pandangan moral dan agama itu menyebabkan amalan tinggal serumah atau bersekedudukan menjadi pola budaya masyarakat negara-negara maju.

Kini, pola itu turut berkembang dan menjadi tempias masyarakat di negara-negara membangun sehingga bersekedudukan itu adalah satu amalan biasa.

Paling menyedihkan apabila bersekedudukan tanpa tanggungjawab itu mencarum pula kepada permasalahan membuang bayi.

Di Malaysia, kisah pembuangan bayi telah berlaku sekian lama, tetapi akhir-akhir ini ia menjadi satu kegilaan yang paling kejam. Kesan perlakuan zina menyaksikan anak gadis atau wanita paling berat menanggung bahana.

Apabila mendapati diri mengandung, mereka hanya mempunyai dua pilihan iaitu meneruskan kandungan atau menggugurkannya dengan pelbagai cara, sama ada menemui dukun tradisional, doktor atau cuba melakukan sesuatu termasuk membunuh diri.

Bagi  mereka yang berasakan kandungan itu adalah darah dagingnya, akan timbul persoalan dan kebimbangan iaitu setelah kelahirannya, di manakah akan disorokkan bayi itu? Islam amat melarang bersekedudukan kerana ia akan mengakibatkan perlakuan zina.

Perlakuan zina bukan sahaja merupakan perbuatan yang terkutuk, tidak bermoral malah mencabar hakikat keinsanan itu sendiri.

Zina merupakan perbuatan membunuh dari awal-awal lagi. Ini kerana zina itu menumpahkan benih hayat pada bukan tempatnya yang sebenar dan diikuti pula oleh keinginan mahu menghindarkan diri daripada kesannya dengan membunuh janin sebelum ia membentuk rupa atau selepas ia membentuk rupa, sama ada sebelum atau selepas ia dilahirkan di dunia.

Zina turut dilihat sebagai satu bentuk pembunuhan dan penyebaran benih kemasyarakatan yang tempang, merendahkan martabat manusia, dan hilangnya rasa bangga terhadap keturunan dan jurai keluarga.

Keserakahan nafsu menjadikan nilai kehidupan semakin tidak selamat. Apabila dikuasai nafsu, manusia sangat mudah berkonflik, berbalah dan seterusnya berperang.

Telah banyak tragedi berdarah yang berlaku disebabkan perbuatan zina, termasuk membunuh sesama manusia. Imam Ahmad berkata: “Aku tidak mengetahui dosa yang lebih besar daripada dosa zina setelah (dosa) membunuh manusia.”

Bagi membendung perbuatan zina, Islam melarang pergaulan bebas bukan muhrim kerana ia mendorong lelaki dan perempuan berada dalam suasana mencurigakan dan ia dimulakan dengan khalwat.

Menghias diri dengan wangian dan bersolek turut dilarang jika ia dilakukan untuk tontonan umum. Wanita digalakkan menghias diri semasa bersama suaminya, kerana ia bakal membangkitkan ghairah dalam keadaan halal.

Keinginan lelaki kepada wanita seksi akan menjadikan gelora nafsu tidak terkawal dan mendorong perbuatan rogol atau percubaan menggoda yang akhirnya menjurus kepada zina.

Islam menggalakkan perkahwinan kepada mereka yang mampu, berpuasa bagi mereka yang tidak mampu, melarang mengadakan halangan yang boleh menyekat perkahwinan seperti meletakkan mas kahwin yang terlalu tinggi.

Islam menafikan ketakutan kepada kemiskinan dan kepapaan kerana mempunyai anak yang ramai.

Adalah digalakkan supaya diberikan subsidi atau bantuan kepada golongan yang ingin berkahwin agar dapat memelihara kesucian diri.

Islam menjatuhkan hukuman paling berat ke atas pelaku zina, juga ke atas mereka yang menuduh perempuan baik tanpa bukti melakukan zina.

* Penulis ialah Setiausaha Analisa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Ulasan