Gadis Kristian peluk Islam di ceramah Dr Zakir


Wu Nina GraceWu Nina GraceSeorang gadis Kristian telah memeluk agama Islam ketika mengikuti syarahan penceramah terkenal antarabangsa Dr Zakir Naik di Padang Astaka di sini, malam tadi lapor Sinarharian online.

Wu Nina Grace, 19 dari Johor keturunan Filipina adalah seorang penuntut di sebuah kolej tempatan di sini.

Gadis itu mengucap syahadah di hadapan lebih 30,000 hadirin dan kelihatan sedikit sebak. Nina yang ditemui berkata dia mula mengenali Islam sejak berusia 13 tahun.

Nina dengan rela hati bersetuju mengucap dua kalimah syahadah selepas berpuashati mendengar penjelasan Dr Zakir mengenai konsep ketuhanan dan kenabian Muhammad.

Dr Zakir bertanyakan soalan adakah dia percayakanAllah swt dan Rasul sebelum diakui oleh gadis berkenaan.

Pendakwah itu kemudiannya berkata, sekiranya sudah percaya dengan dua perkara itu mengapa dia tidak mengucap dua kalimah syahadah.

Sejurus kemudian, gadis itu terus mengikut Dr Zakir mengucap dua kalimah syahadah.


Tinjauan Bernama pula, melaporkan  selepas selesai menyampaikan ceramah bertajuk 'Pilihan Orang Islam, Dakwah Atau Kemusnahan' dan sesi soal jawab pada kira-kira 12.45 malam, Dr Zakir dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berjumpa dengan Nina yang berehat di sebuah bilik di belakang pentas.

Usaha pemberita untuk menemu bual Nina tidak berjaya selepas dihalang oleh pihak urus setia program.

Beberapa hadirin yang ditemui Bernama menyatakan bahawa mereka terkejut dengan kesediaan Nina memeluk Islam dan bersyukur kerana dapat melihat usaha dakwah Dr Zakir yang mampu menarik orang bukan Islam menjadi 'saudara baru'.
Program yang diadakan di Padang Astaka di sini, itu merupakan ceramah keempat Dr Zakir Naik, sejak tiba di Terengganu pada 9 April lepas.

Kebanyakan mereka yang hadir bermula 7.30 malam itu, tidak berganjak dan setia menunggu beliau memulakan topik syarahan bertajuk 'Muslim Choice - Dakwah or Destruction' (Pilihan Orang Islam, Dakwah Atau Kemusnahan).

Beliau memulakan syarahan pada 8.45 malam, dan hujan akhirnya berhenti 15 minit kemudian.

Selain masyarakat berbilang bangsa dan agama, turut hadir mendengar ceramah Dr Zakir Naik ialah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Turut mendapati ada kalangan yang hadir ialah dari Pahang serta Kelantan.
 
| MALAYSIA DATELINE

Ulasan