Penipuan pakej umrah berleluasa

Penipuan pakej umrah berleluasa

MASJID TANAH - Bakal jemaah umrah perlu memastikan terlebih dahulu pakej yang ditawarkan syarikat agensi pelancongan yang dipilih meliputi pelbagai aspek sebagaimana dijanjikan bagi mengelakkan ditipu.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kementeriannya telah mengenakan kompaun bernilai RM249,000 melibatkan 57 kes syarikat agensi pelancongan yang melakukan penipuan pakej umrah dan ziarah sejak tahun 2012 sehingga April lalu.
Beliau berkata, kes penipuan tersebut direkodkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 melibatkan syarikat berlesen dan tidak berlesen.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Tribunal Tuntutan Pengguna turut memfailkan kira-kira 3,400 kes penipuan tersebut dengan nilai tuntutan sebanyak RM20.77 juta dalam tempoh sama.

"Malah, polis turut merekodkan 216 kes penipuan pakej umrah dan haji membabitkan nilai kerugian besar iaitu kira-kira RM9.1 juta dalam tempoh empat tahun itu bermula 2012," katanya selepas Program Kempen Kesedaran Mengenai Penipuan Pakej Umrah/Ziarah dan Hak Kepenggunaan 2016 di Dewan Datuk Seri Abu Seman Masjid Tanah, semalam.

Mas Ermieyati berkata, maklumat dari orang awam juga mampu memberi impak dalam mengurangkan kes penipuan berkaitan, selain membantu orang ramai daripada menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sinar Harian

Ulasan