Ternak udang sampai jadi jutawan

 Ternak udang sampai jadi jutawan



MINAT mendalam dalam dunia penternakan udang membolehkan seorang pemuda kini bergelar jutawan kerana mampu memperoleh pendapatan lima angka.

Vikraman Krishnamoorthy atau lebih mesra disapa Vikram menjelaskan, dia amat meminati bidang penternakan udang dan menceburi dunia penternakan ketika usia 25 tahun.

Menurutnya, ketika rakan sebaya masih tercari-cari kerjaya yang serasi, dia sudah memiliki azam setinggi gunung untuk menjalankan penternakan udang putih yang dikenali dengan nama Vanamei dan udang harimau yang dikenali dengan nama Monodon.

Sejak dari situ, Vikram terus mencari institusi yang mampu membimbingnya sekali gus menjadikan dia sebagai usahawan penternakan udang kerana memikirkan pulangan yang lumayan.

Usahawan Bimbingan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Program Latihan Kemahiran  Pertanian Kebangsaan oleh Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) ini meneruskan pembelajaran ke peringkat diploma bagi mendalami bidang tersebut.

Selepas tamat latihan industri, dia tak mahu menunggu lama sebaliknya memulakan langkah mencari tapak sesuai di Kampung Sungai Batu, Lembah Bujang, Bedong di Kedah dengan modal permulaan sebanyak RM120,000.



Menurutnya, biarpun bidang yang diminati agak berbeza dengan ahli keluarganya, di mana abang bekerja dalam bidang industri manakala kakak pula seorang guru, namun disebabkan pulangan yang tinggi, dia jatuh cinta dalam bidang ini.

“Walaupun bidang yang saya terokai ini adalah sesuatu yang berbeza dan jarang dikuasai usahawan lain, namun keluarga merupakan tulang belakang yang sentiasa membantu dan bersedia mendengar luahan sekiranya berdepan kesulitan.

“Modal permulaan sebanyak RM120,000 juga merupakan hasil wang simpanan dan perkongsian bersama ahli keluarga,” katanya.

Kebersihan jadi keutamaan

Menurutnya, antara rutin yang dilakukan setiap hari bagi memastikan udang membesar dengan sihat termasuklah mengenal pasti tahap kebersihan air kolam.

“Saya perlu pastikan air tidak berkelodak, rumput terjaga, dipotong kemas agar tidak menjadi tarikan serangga lain yang boleh mengganggu pembesaran udang dan tabur kapur bagi tujuan menstabilkan PH air, dalam masa sama tugas saya juga perlu beri makan udang setiap hari.

“Setakat ini, dalam tempoh setahun, saya memperoleh pulangan sebanyak tiga kali pusingan di mana tempoh matang udang putih dan udang harimau adalah antara 60 hingga 90 hari.

“Sebagai contoh, modal yang diperlukan bagi menguruskan satu pusingan ternakan udang harimau ialah RM40,000 bagi keperluan benih, makanan dan lain-lain.

“Apabila sampai tempoh matang, jualan saya mencecah RM90,000 di mana keuntungan yang diperoleh kira-kira RM50,000.

“Manakala bagi penternakan udang putih pula, saya memerlukan  RM70,000 sebagai modal pusingan dan hasil jualan yang berjaya diperoleh pula sebanyak RM140,000 di mana keuntungan dua kali ganda pada setiap pusingan,” katanya.

Bimbang risiko penyakit

Antara risiko yang dihadapi termasuklah serangan penyakit White Spot Syndrome (WSS) pada udang yang hanya boleh dilihat dalam tempoh hampir matang.

“Kalau ada yang diserang penyakit, ia berisiko untuk berjangkit pada yang lain dan besar kemungkinan sekiranya sudah teruk, boleh menyebabkan udang jatuh sakit dan mati, itulah yang paling ditakutkan namun saya sentiasa memastikan langkah pencegahan telah diambil.

“Bagi memastikan udang hidup dan membesar dengan sihat, saya juga kena pastikan kolam udang bersih dari bendasing termasuk haiwan lain dari luar seperti biawak, ketam atau ikan kerana dibimbangi membawa penyakit dan mempengaruhi keseluruhan udang di kolam.

“Disebabkan itu, perlu dipasang pengadang atau tembok di sekeliling kolam udang bagi memastikan perkara ini tidak berlaku,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, permintaan amat menggalakkan dan setiap kali hasil diperoleh, pemborong dan orang tengah sudah bersedia untuk mendapatkan udang.

“Selain dipasarkan dalam negara, saya dapat tahu dari sesetengah pengedar, mereka menjalankan eksport ke negara luar seperti China, Singapura dan Thailand,” katanya tersenyum bangga dengan hasil titik peluh yang diusahakannya.

Vikram berkata, harapannya adalah untuk mengembangkan penternakan udang putih dan harimau, meningkatkan pengeluaran dan meluaskan pasaran sekali gus menjadikan bidang ini sesuatu yang luar biasa.

“Dalam memastikan ia memenuhi kehendak permintaan yang semakin meningkat, saya berharap ada pihak atau mana-mana agensi membantu tidak kira sama ada dari aspek dana, tapak baru, bantuan peralatan mahupun prasarana bagi mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana usahawan yang ingin menceburi penternakan udang, agar terus komited dan bersedia berkongsi idea dan tip dalam dunia penternakan udang.

INFO PENGUSAHA

Nama: Vikraman Krishnamoorthi
Umur: 29
Adik beradik: Anak bongsu dari 3 beradik
Syarikat: Extra Monodon Enterprise
PENDIDIKAN:
2012 - Sijil Kemahiran (Tahap 1 dan 2) Bidang Akuakultur Marin di Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Benih Udang Kebangsaan, Pulau Sayak, Kedah.
2013 - Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 3) Bidang Akuakultur Marin di Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Benih Udang Kebangsaan, Pulau Sayak, Kedah.
2014 - Diploma Kemahiran Malaysia (Tahap 4) Bidang Akuakultur Marin, Kolej Pertanian Malaysia, Bukit Tangga, Kedah

Sinar Harian Online
Image result for satu peluang hebat IKLAN DAPAT DUIT

Ulasan