Langkau ke kandungan utama

Berita Baik Banglo bawah RM200,000 mampu milik

Banglo bawah RM200,000
Mohd Zikri ( tiga, kiri) bersama kakitangan ZYQ Engineering.



SABAN tahun, harga rumah mencanak naik, kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan harga hartanah yang meningkat, selain peningkatan kos bahan binaan.

Ramai mengeluh tidak mampu membeli rumah kerana kekangan kewangan.Bagi yang memiliki tanah sendiri, mereka bertuah kerana berpeluang membina rumah idaman, asalkan mempunyai bajet.
Ikuti perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif ZYQ Engineering Sdn Bhd (ZYQ Engineering), Mohd Zikri Md Zaini, yang berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang pembinaan, mengenai perkara ini.

ZYQ Engineering terkenal sebagai syarikat yang membangunkan kediaman mampu milik, dengan harga di bawah RM200,000. Kenapa memilih segmen pembangunan ini?

Saya melihat golongan golongan asnaf, fakir dan miskin sangat bertuah kerana banyak bantuan yang disalurkan oleh kerajaan. Namun, bagi golongan pertengahan, tiada bantuan tertentu, sedangkan golongan ini juga memerlukan sokongan.

Melihat perkara ini, saya mengambil peluang untuk membuka syarikat pembinaan yang menyasarkan kepada pembinaan rumah mampu milik, di bawah RM200,000. Niat kami hanyalah untuk membantu golongan pertengahan memiliki kediaman sendiri, seperti slogan syarikat ‘Kami Bina Ikut Bajet Anda’.

Bagi saya, rumah adalah keperluan asas, sama seperti perubatan dan pendidikan. Projek rumah pertama kami bina adalah pada harga RM50,000, yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air.



Bagaimana konsep pembinaan rumah ZYQ Engineering?

ZYQ Engineering fokus membina rumah berkonsep banglo setingkat, di bawah harga RM200,000, dengan syarat pelanggan perlu mempunyai tanah sendiri dan ada bajet. Kami akan membina rumah mengikut bajet pelanggan.

Setakat ini, ZYQ Engineering mempunyai 14 model rumah yang boleh dipilih pelanggan. Bagaimanapun, jika pelanggan mempunyai reka bentuk sendiri, kami sedia menerimanya dan menyesuaikan dengan bajet mereka. Pada masa ini, rumah paling murah dibina ZYQ Engineering adalah RM55,000, mempunyai dua bilik dan satu bilik air.

Sepanjang 10 tahun dalam industri pembinaan, apakah masalah yang sering dihadapi orang ramai?

Saya lihat, ramai Bumiputra kita memiliki tanah sendiri, yang kebanyakannya berstatus pertanian. Malangnya, disebabkan kurang berkemampuan membina rumah, tanah ini terbiar dan ada juga yang terpaksa dijual kepada pemaju.

Di Malaysia, ada beberapa jenis hartanah, iaitu hartanah status bangunan, komersial dan Vacant Land ( tanah kosong yang biasanya berstatus pertanian). Hartanah komersial meliputi hartanah yang berkaitan dengan perniagaan, seperti pejabat, kedai, pasar raya atau kilang.

Untuk hartanah bangunan, ia khusus untuk bina rumah, jadi tiada masalah dari segi pinjaman, kerana bank menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan. Namun, yang menjadi masalahnya ialah hartanah berstatus pertanian, yang kebanyakannya dimiliki golongan Bumiputera.

Tanah yang ada ini, sukar dibangunkan berikutan masalah kewangan pemilik tanah itu sendiri. Institusi perbankan sukar menerima apabila kita hendak memohon pembiayaan untuk membina rumah di atas tanah berstatus pertanian ini. Jadi pilihan yang ada hanyalah pinjaman peribadi untuk membina rumah.

Bagaimanapun, apabila tempoh pinjaman peribadi disingkatkan daripada 25 tahun ke 10 tahun, pada Julai 2013, ramai tidak mampu membina rumah kerana tiada bajet.

Justeru, saya mencadangkan supaya pihak kerajaan dan Bank Negara Malaysia mengkaji semula tempoh ini, dengan memanjangkan tempoh pinjaman peribadi, sehingga 20 tahun, khusus untuk mereka yang hendak membina rumah sahaja.

Adakah berbaloi memiliki kediaman di atas tanah sendiri atau membeli rumah siap daripada pemaju?

Pada saya, memiliki kediaman di atas tanah sendiri, lebih menguntungkan daripada membeli rumah siap terus daripada pemaju, kerana kosnya lebih murah. Sebagai contoh di Selangor, yang harga tanahnya lebih tinggi, iaitu sekitar RM100,000 bagi satu lot tanah. Kos pembinaan rumah pula dianggarkan RM150,000 (empat bilik dan dua tandas). Dengan RM250,000, anda boleh memiliki kediaman sendiri, iaitu sebuah banglo, lebih murah daripada harga pasaran.

Ketika ini, harga rumah mahal di pasaran. Apakah pandangan anda untuk mengurangkan harga rumah?

Harga rumah di Malaysia sepatutnya boleh dikurangkan. Cadangan saya, kerajaan melalui Rizab Tanah milik kerajaan, boleh mengkhaskan tanah ini kepada pemaju, untuk membina rumah mampu milik, bagi mengatasi masalah harga tanah tinggi, yang menjadi punca rumah mahal.

Kedua, kerajaan perlu mengenakan semula harga siling bagi simen dan besi bulat yang telah di mansuhkan pada 2008. Ketiga, kerajaan juga boleh mengecualikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk pemaju dan kontraktor yang membina rumah mampu milik, sepertimana barang makanan dan perubatan.

Selain itu, kerajaan dicadangkan untuk menguatkuasakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), sebagai alternatif untuk mengurangkan harga rumah.

Kerajaan juga boleh memberi diskaun cukai seperti cukai perniagaan kepada pemaju yang sanggup membina rumah mampu milik, selain mengurangkan kos kepatuhan yang ditanggung pemaju, seperti premium tanah. Saya juga menyarankan supaya kos utiliti seperti air dan elektrik, yang ditanggung pemaju ketika ini, dikurangkan.

Apakah projek pembangunan baharu yang sedang dijalankan ZYQ Engineering dan pelan pengembangan syarikat akan datang?

Setakat ini, operasi ZYQ Engineering sudah meneroka hampir seluruh Semenanjung Malaysia, kecuali di Kelantan dan utara Terengganu. Kami tidak merancang untuk memasuki Kelantan kerana banyak syarikat pembinaan di sana menawarkan pembinaan rumah pada harga mampu milik.
Namun, sekiranya ada permintaan di sana, kami sedia mempertimbangkannya. ZYQ Engineering bakal menembusi pasaran Sabah pada 2017. Jika mendapat maklum balas positif, kami akan melebarkan sayap ke Sarawak.

Selain itu, kami menerusi ZYQ Development Sdn Bhd, akan membangunkan tiga projek perumahan banglo di Pekan, Pahang; Kuang, Selangor dan Yan, Kedah, melibatkan 100 unit kediaman, yang akan dilancarkan awal tahun hadapan. Semua rumah ini, yang menggunakan sistem IBS, dijangka akan dijual pada harga di bawah RM300,000.

Sinar Harian Online

Image result for satu peluang hebat IKLAN DAPAT DUIT

Ulasan

Catat Ulasan

Ulaslah Yang Terbaik..