Maxis catatkan prestasi berdaya tahan pada suku ketiga

Maxis

MAXIS Bhd memperlihatkan prestasi yang berdaya tahan pada suku ketiga berakhir 30 September 2018, dipacu oleh peningkatan pertumbuhan data dan keputusan yang positif daripada pengoptimuman kos dan inisiatif pemasaran yang agresif.  

Pada suku yang dinilai, untung bersih syarikat telekomunikasi itu berjumlah RM513 juta berbanding RM564 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas, sementara perolehan adalah RM2.26 bilion berbanding RM2.33 bilion pada suku sama sebelumnya.

Menurut syarikat itu, segmen pascabayar terus memberikan prestasi baik dengan perolehan berkembang 2.8 peratus kepada RM1.025 bilion, dipacu oleh pertumbuhan langganan dengan perolehan purata setiap pengguna (ARPU) yang kukuh dan tinggi sebanyak RM93.

Bagaimanapun, perolehan prabayar susut 10.1 peratus kepada RM851 juta, tahun ke tahun, mencerminkan persaingan harga yang berterusan di pasaran sementara perolehan gentian kediaman meningkat 14.3 peratus kepada RM80 juta manakala asas pelanggan berkembang kepada 202,000 suku ini, kata Maxis dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robert Nason, berkata syarikat berkenaan mempunyai prestasi operasi suku tahunan yang baik yang dipacu oleh pertumbuhan data dan permintaan untuk tawaran inovatifnya daripada pelanggan dan perniagaan.Pada suku yang dinilai, Maxis mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak lima sen sesaham

“Kami sangat gembira dengan teras prestasi kami yang kukuh dan dalam menjejaki sasaran yang dibuat, kami menjangkakan kemunculan satu keadaan yang membawa pengurangan dalam perolehan borong kami, kesan akibat cukai jualan dan perkhidmatan, pelaburan di dalam tawaran baharu gentian kami dan persaingan harga yang berterusan sengit,” tambahnya.  - Bernama

Ulasan