30 dakwa jadi mangsa penipuan mata wang digital

KAJANG: Seramai 30 daripada kira-kira 300 mangsa warga tempatan membuat laporan polis berhubung pelaburan mata wang digital atau bitcoin dianggar membabitkan kerugian mencecah RM22 juta.
Seorang mangsa, Mohd Alif Basari, 27, mendakwa melabur lebih RM60,000 sejak menyertai pelaburan pada April 2016 tetapi pelaburan diperoleh kurang daripada RM2,000.
Beliau yang pernah bertugas sebagai jururawat hospital swasta berkata, pelaburan ‘bitcoin’ itu menarik minatnya selepas menghadiri taklimat di ibu negara.
Katanya, pelaburan berkenaan dianjurkan seorang penerbit filem tempatan.
“Kami dijanjikan dividen bulanan berdasarkan pembelian satu bitcoin berharga RM1,800. Pada bulan pertama, saya mendapat pulangan kira-kira RM500 hingga RM600 secara tunai.
“Pulangan itu meyakinkan saya untuk terus melabur dengan membeli enam hingga 20 bitcoin sehingga Julai 2016.
“Bagaimanapun, sistem pelaburan itu mulai goyah apabila proses pengeluaran dividen dalam bentuk tunai kerap tergendala.
“Ia menyebabkan saya curiga terhadap pelaburan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.
Mohd Alif adalah antara 30 mangsa yang membuat laporan polis supaya siasatan dijalankan terhadap sebuah syarikat pelaburan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata lebih 300 individu tampil membuat aduan ke pihaknya berhubung penipuan pelaburan mata wang digital itu.
Katanya, mangsa meminta bantuan MCCA untuk mengetengahkan isu berkaitan bitcoin yang didakwa cenderung bagi tujuan pelaburan palsu.
“Mangsa yang membuat aduan kerugian antara RM10,000 hingga ke RM600,000 selepas menyertai sindiket berkenaan sejak 2015.
“Syarikat itu mendakwa lebih 50,000 orang menyertai pelaburan berkenaan,” katanya.
www.bharian.com.my

Ulasan