Naib Presiden PKR, Azmin Ali menyatakan beliau belum membuat keputusan untuk bertanding bagi mana-mana kerusi yang dipertandingkan..

Harakahdaily
SEBERANG JAYA, 12 Sept: Naib Presiden PKR, Azmin Ali menyatakan beliau belum membuat keputusan untuk bertanding bagi mana-mana kerusi yang dipertandingkan dalam pemilihan parti yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Negeri Pulau Pinang yang telah diadakan di tapak ekspo Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah petang semalam.

Menurut beliau lagi walaupun ada permintaan dari ahli yang mahukan beliau bertanding, tetapi tumpuan yang harus diberikan sepenuhnya ialah perjalanan pemilihan disempurnakan terlebih dahulu.

"Saya tidak mahu sekiranya kita menang pemilihan dalam parti bagi merebut jawatan, namun sebaliknya parti kalah dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Oleh kerana itu tumpuan terhadap pemilihan parti ini biarlah ahli sendiri yang membuat pilihan.Mereka telah diberi kuasa penuh oleh parti untuk memilih pimpinan secara demokrasi yang total.

"Mereka boleh gunakan hak sebagai ahli sepenuhnya bagi memilih siapa sahaja yang difikirkan layak untuk menerajui dan memimpin parti samada di peringkat cabang, negeri maupun pusat."katanya lagi.

Tambahnya lagi, selama satu dekad bersama PKR telah jelas komitmen dan tumpuan yang diberikan terhadap parti adalah satu tanggungjawab yang amat besar perlu dilaksanakan.

Beliau juga berharap mereka yang akan bertanding dalam pemilihan parti menjalankan kempen dengan cara beradab dan penuh etika mengikut garis panduan yang telah diberikan.

Sebelum ini Azmin telah dilaporkan oleh media akan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang turut menjadi minat Datuk Zaid Ibrahim.

Namun begitu sehingga ini Azmin masih lagi berteka-teki samada untuk merebut jawatan tersebut atau sebaliknya yang kini diterajui oleh Syed Hussin Ali.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Dr.Mansor Othman, Senator Mustaffa Kamal Mohd Yusof, Datuk Abdul Halim Hussain(Speaker DUN P.Pinang)serta kepimpinan Kerajaan Negeri adalah antara mereka yang hadir dalam majlis yang bermula pada pukul 12 hingga 4 petang.


www.2kali.com/?s=2433

Ulasan